Home Luar Negara PBB GANTUNG BANTUAN MAKANAN SELEPAS KONVOI DI GAZA DITEMBAK

PBB GANTUNG BANTUAN MAKANAN SELEPAS KONVOI DI GAZA DITEMBAK

175
0

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung sementara pergerakan kakitangan merentasi Semenanjung Gaza selepas kenderaannya terkena 10 tembakan sewaktu menghampiri pusat pemeriksaan tentera Israel.

Agensi bantuan PBB, Program Makanan Dunia (WFP), dalam satu kenyataan, berkata konvoi dua kenderaan yang tertera tanda bantuan yang jelas ditembak berulang kali oleh pihak berkuasa Israel ketika mendekati pusat pemeriksaan di jambatan Wadi Gaza, petang kelmarin.

Peluru itu terkena pada salah satu kenderaan, tetapi tiada pekerjanya yang dilaporkan cedera. Setakat ini, Israel masih belum menjawab dakwaan berkenaan.

“Walaupun ia bukan isu keselamatan pertama ketika perang, ia adalah kali pertama kenderaan WFP ditembak secara langsung berhampiran pusat pemeriksaan, biarpun sudah mendapat pelepasan yang diperlukan,” kata WFP.

Katanya, kenderaan itu hanya berada ‘beberapa meter’ dari pusat pemeriksaan Israel apabila ia ditembak.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, semalam berkata operasi bantuan di Gaza kini berdepan ‘kekangan’ oleh musuh, ketidakamanan dan perintah pemindahan besar-besaran yang menjejaskan laluan serta kemudahan pengangkutan bantuan’.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) juga akan mengadakan pertemuan hari ini susulan permintaan daripada Britain dan Switzerland yang menuntut krisis kemanusiaan di Gaza ditangani segera.

“PBB sudah memberi amaran kepada operasi bantuan dan kakitangan di Gaza yang berisiko, namun pada masa sama, kempen vaksin perlu disegerakan untuk menghentikan wabak polio,” kata PBB Britain di laman X.

PBB ketika ini sedang bersiap sedia untuk memberi vaksin kepada kira-kira 640,000 kanak-kanak di Gaza selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata seorang bayi berusia 10 bulan dikesan lumpuh akibat virus polio jenis 2, kes pertama seumpamanya dalam tempoh 25 tahun di wilayah itu.

Tentera Israel sudah meratakan kawasan Palestin yang terkepung, menghalau hampir kesemua 2.3 juta penduduknya dari rumah mereka, menyebabkan kelaparan dan penyakit yang boleh membawa maut serta sudah membunuh lebih 40,000 orang.

PBB sendiri sudah lama menuntut penghantaran bantuan dipermudahkan ke Gaza semasa perang dan terpaksa mengedarkannya ketika ‘pelanggaran undang-undang yang menyeluruh’ berlaku di wilayah terkepung itu. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here