Home Hiburan ‘MALAYSIA MADANI JIWA MERDEKA’ SENTUHAN ORKESTRA

‘MALAYSIA MADANI JIWA MERDEKA’ SENTUHAN ORKESTRA

188
0

KUALA LUMPUR: Lagu tema Hari Kebangsaan 2024 berjudul ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’ hasil ciptaan komposer muda, Affan Mazlan dipilih oleh Jawatankuasa Penerbitan Lagu Merdeka yang dipengerusikan oleh Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail.

Mokhzani berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai pengerusi jawatankuasa meneliti lagu segar, mesra pendengar dan mempunyai ciri-ciri lagu tema yang mampu diterjemahkan dengan sentuhan orkestra menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya terus menghubungi Affan untuk menghasilkan lagu tema ini sebaik sahaja diberikan tanggungjawab ini. Affan tidak mengambil masa lama menyediakan demo lagu Hari Kebangsaan kali ini.

“Ini juga kerjasama tahun kedua bersama pencipta muda yang mencipta lagu tema tahun lalu judul Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, dinyanyikan oleh Khai Bahar dan Aina Abdul,” katanya selepas pelancaran lagu Malaysia Madani Jiwa Merdeka di Kementerian Komunikasi, kelmarin.

Mokhzani berkata, dia boleh mengagak inilah karya yang dicari apabila kali pertama mendengar melodi dan rentak dalam genre pop rock itu kerana melodi segar serta bertenaga.

“Gubahan yang digarap boleh disesuaikan bersama sentuhan muzik orkestra, selain alatan muzik etnik pelbagai kaum seperti gendang, sitar, tabla, gamelan dan lain-lain.

“Saya minta Affan untuk menguatkan lagi melodi yang berpaksikan kepada empat kord dan disokong dengan iringan orkestra untuk memantapkan lagi melodi karya ini,” katanya.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nee Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia, Datuk Mohamad Fauzi.

Katanya, lagu Malaysia Madani Jiwa Merdeka dinyanyikan oleh Amir Masdi kerana kemampuan vokal penyanyi itu membawa lagu berkenaan.

“Selain itu, saya bekerjasama dengan jurutera rakaman terbaik, Peter Chong dan Afendi Purwonto. Saya juga gunakan khidmat pemain gitar, Sham Kamikaze, pemain flute, Mohardiman dan diperkuatkan dengan suara latar, Gemersik Korus.

“Lagu tema ini dirakam buat kali pertama studio orkestra tercanggih di Angkasapuri Kota Media. Kami yakin lagu ini pasti mendapat sambutan rakyat Malaysia,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here