GAZA CITY: Hamas pada Sabtu mengumumkan bahawa kepemimpinannya memulakan proses untuk memilih ketua biro politik yang baharu selepas pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran, Iran.
“Susulan kematian pemimpin kami (Haniyeh), kepemimpinan pergerakan memulakan proses rundingan dalam kalangan kepemimpinan dan institusi penasihatnya bagi memilih ketua baharu untuk pergerakan ini,” Anadolu memetik kenyataan Hamas.
Menurut kenyataan itu, pembunuhan Haniyeh akan hanya menjadikan Hamas dan penentangan Palestin lebih kuat dan lebih berazam untuk meneruskan tindakannya.
Hamas berkata, pihaknya akan mengumumkan hasil rundingan sebaik sahaja selesai.
Ismail Haniyeh, pemimpin tertinggi Hamas yang di bunuh 31 Julai lalu dipercayai akibat letupan bom yang diseludup ke rumah tamu tempat beliau menginap di Tehran.
Perkara itu dimaklumkan oleh tujuh pegawai Asia Barat termasuk dua warga Iran, dan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS).
Bom itu disembunyikan kira-kira dua bulan lalu di rumah tamu itu, menurut lima pegawai berkenaan.
Rumah tamu itu dikendalikan dan dilindungi oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di kejiranan mewah Neshat, di utara Tehran, lapor The New York Times.
Pengawal peribadi Haniyeh turut terbunuh dalam kejadian itu. – BERNAMA-ANADOLU, BH Online –
IMedikel TV






