Home Buletin Semasa INISIATIF PERANG TERHADAP GULA ATAU ‘WAR ON SUGAR’

INISIATIF PERANG TERHADAP GULA ATAU ‘WAR ON SUGAR’

349
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil serius tentang pengambilan gula yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan negara ini masih tersenarai sebagai negara dengan prevalen diabetes tertinggi di Asia Tenggara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dalam satu kenyataan, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan peningkatan prevalen berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu dari 50.1 peratus pada 2019 kepada 54.5 peratus (2023).

“KKM turut mengambil pelbagai pendekatan untuk mengukuhkan lagi langkah bagi membendung masalah ini melalui Perang Terhadap Gula atau ‘War on Sugar’.

“Meskipun prevalen diabetes dalam kalangan dewasa di Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 15.6% berbanding 18.3% pada tahun 2019. Namun KKM tetap ingin menggalakkan pihak industri makanan dan minuman untuk mereformulasi produk kepada yang lebih sihat,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 telah dibangunkan dan dilancarkan pada 29 Jun 2024. Katanya, pelan mengandungi enam strategi utama dengan 38 inisiatif dan 65 aktiviti yang merangkumi polisi, advokasi dan kerjasama public-private partnership melalui pendekatan masyarakat dan negara yang menyeluruh.

“Untuk menggalakkan memformulasi makanan sihat, KKM telah melaksanakan Healthier Choice Logo (HCL) pada 2017 dan pengenaan cukai ke atas minuman manis bergula (SSB) sejak Julai 2019.

“Usaha mengurangkan pengambilan gula ini diteruskan dengan pelaksanaan Kempen “1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada TERBAIK!” yang menumpukan kepada penyediaan minuman di kafetaria, restoran dan kedai makan di seluruh negara,” katanya.

Ujarnya, KKM juga terus mempergiatkan program-program di komuniti untuk mengurangkan pengambilan gula harian dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Penubuhan sebanyak 33 Wellness Hub di seluruh negara juga dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan kesihatan kepada komuniti secara bersasar dalam pembudayaan hidup sihat termasuk mengurangkan pengambilan gula, dengan jumlah sebanyak 765,843 klien telah mendapatkan perkhidmatantersebut pada 2020-2023.

“Usaha ini turut diperkukuhkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang turut melancarkan Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’,” katanya.

Tambahnya, pihak KKM turut menyeru semua pihak dari agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk sektor swasta serta seluruh rakyat Malaysia untuk memerangi pengambilan gula berlebihan di Malaysia bagi merealisasikan Malaysia MADANI.

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here