Home Hiburan SINGLE KHAS BUAT ANAK

SINGLE KHAS BUAT ANAK

319
0

Kelahiran anak sulungnya, Muhammad ZulFiras yang dilahirkan pada 16 September tahun lalu adalah detik terindah buat penyanyi, Min Yasmin, 36, dan suaminya yang juga komposer Julfekar Ahmad Shah sekali gus melengkapkan kebahagiaan rumah tangga mereka.

Min atau nama sebenarnya, Nurul Yasmin Abdul Aziz berkata, sempena kelahiran anak yang dinantikan selama 10 tahun itu, dia juga tampil dengan single baru berjudul Anugerahmu ciptaan Julfekar yang didedikasikan khas buat anak sulungnya itu.

“Alhamdulillah, ZulFiras kini membesar dengan sihat dan kuat. Anugerahmu juga sangat istimewa kerana penantian kami selama 10 tahun untuk memiliki anak dimakbulkan Allah,” katanya.

Min berkata, semua pengalaman ketika hamil sehinggalah proses melahirkan ZulFiras dimuatkan dalam lagu berkenaan.

Katanya, sepanjang tempoh mengandung anak pertamanya itu pelbagai ujian terpaksa dilalui dengan penuh ketabahan.

“Sebenarnya, saya tak sedar sudah hamil empat bulan kerana ketika itu sibuk dengan rakaman dan penggambaran video muzik di Filipina.

“Sepanjang tempoh hamil, pelbagai ujian dilalui seperti tekanan darah sentiasa tinggi dan terpaksa buat pemeriksaan dua hari sekali di klinik. Saya juga terpaksa ditahan di wad kerana masalah tekanan darah tinggi,” katanya.

Selain itu, Min juga berdepan kesukaran ketika mahu melahirkan anaknya itu.

“Saya terpaksa melahirkan anak secara pembedahan kecemasan ketika bayi berusia 30 minggu kerana tekanan darah tinggi. Ini kerana ia boleh membawa implikasi kepada bayi,” katanya.

Min berkata, anaknya itu adalah bayi pramatang dan sewaktu dilahirkan beratnya hanya 880 gram.

“Dia terpaksa diletakkan dalam inkubator sehingga mencecah berat dua kilogram. Selama dua bulan jugalah, saya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk melawat dan memberikan susu badan yang dipam kepadanya,” katanya.

Sementara itu, muzik video Anugerahmu turut menampilkan ZulFiras dan suaminya. Ia menjalani penggambaran di Simpang Menggayau, Kudat, Sabah dan diarahkan, Suhaimi Suhaili. – HMetro Online –

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here