Home Hiburan ANAK MALAYSIA BERI INSPIRASI KEPADA ATLET OLIMPIK

ANAK MALAYSIA BERI INSPIRASI KEPADA ATLET OLIMPIK

145
0

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap popular, Altimet bersama Zizi Kirana, Saixse dan Fahimi tampil bekerjasama menerusi lagu berjudul Anak Malaysia.

Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, lagu Anak Malaysia dihasilkan untuk memberikan semangat dan sokongan kepada pasukan Malaysia yang kini sedang bertanding pada temasya Sukan Olimpik Paris.

Pada masa sama, katanya, ia dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan, tidak lama lagi.

“Lagu ini lebih daripada sekadar nyanyian, ia panggilan semangat untuk atlet dan seluruh rakyat Malaysia.

“Tidak kira di mana berada dan apa juga yang dilakukan, kita akan sentiasa berbangga menjadi Anak Malaysia,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya itu.

Anak Malaysia adalah gubahan kolaborasi Iqie Hugh, Mage, Fahimi, Saixse dan Mambang.

Sementara itu, Mage yang juga penerbit lagu itu berkata, hasil campuran genre dan gaya menarik menjadikan lagu Anak Malaysia mencerminkan perpaduan, tekad dan mempamerkan semangat kebanggaan rakyat Malaysia.

“Kami mahu mencipta sesuatu yang bukan sahaja akan memberikan inspirasi kepada atlet, tetapi bergema dan membangkitkan semangat ‘Jiwa Merdeka’ menjelang sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Lagu dihasilkan dengan kerjasama SVLTAN Management, Faithful Music bersama dengan Universal Music Malaysia itu menekankan komitmen dalam menyokong bakat tempatan dan menyumbang kepada semangat kebangsaan.

Zizi berkata, dia berharap lagu Anak Malaysia akan menjadi sumber kekuatan untuk atlet ketika bertanding di Paris, sekali gus menjadi inspirasi untuk masyarakat menyokong daripada tanah air.

Lagu simbol kebanggaan dan perpaduan negara itu dilancarkan di semua platform penstriman digital utama sejak 26 Julai lalu, manakala video muzik diarahkan oleh Fareez Nasir dilancarkan pada hari sama di saluran YouTube Faithful Music. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here