TELUK INTAN: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan saranan Tengku Razaleigh Hamzah yang meminta pemimpin DAP menjauhkan diri daripada berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri sebagai kaedah memenangkan calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan.
Zambry berkata, kenyataan yang dibuat oleh Pengarah PRK Umno Nenggiri merangkap Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu pastinya akan dibincangkan secara bersama oleh peringkat kepimpinan.
“Perkara yang disebutkan oleh Yang Mulia (Tengku Razaleigh) itu adalah kaedah bagaimana cara kita nak memenangi (PRK Nenggiri).
“Tentunya rakan kita (DAP), selain daripada mereka cuba memberikan sumbangan atau bantuan, mereka juga mendengar atas nama semangat kesepakatan sebab yang paling mustahak adalah calon kita itu perlu menang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Teluk Intan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Tengku Razaleigh dilaporkan meminta pemimpin DAP menjauhkan diri daripada berkempen di Nenggiri dengan alasan demografi kawasan itu adalah 100 peratus Melayu.
Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu dilaporkan mendakwa, ucapan pemimpin DAP sentiasa berpaksikan kepentingan masyarakat Cina.
“Apa untungnya? Dia ke sana dia buang masa dia dan dia buang masa kita. Orang Melayu di Nenggiri nak dengar pandangan orang Melayu terhadap orang Melayu di situ,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, walaupun pandangan itu dilontar secara terbuka, tidak timbul sebarang isu pendirian BN kerjasama antara jentera parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP.
“Pandangan yang dikemukakan… kita sentiasa memberi membuat perbincangan secara bersama, jadi tentunya Yang Mulia (Tengku Razaleigh) mempunyai pandangan beliau kerana beliau adalah Ketua Bahagian (Gua Musang).
“Namun, atas semangat kebersamaan yang ada dalam kerajaan ini, tentunya kita akan mengambil pendekatan terbaik untuk memenangkan calon daripada Kerajaan Perpaduan ini.
“Perkara yang paling mustahak bagi saya, apa sekali pun komen (pendapat)… apa yang paling penting adalah calon itu perlu menang di kawasan berkenaan,” katanya.
Selain Tengku Razaleigh, Setiausaha Kelab Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub juga sebelum ini dilaporkan mengakui hasrat DAP untuk membantu calon BN mendapatkan sokongan Orang Asli tidak akan berkesan memandangkan Orang Asli di Nenggiri adalah ‘Bumiputera Islam berbahasa Melayu.’
Beliau juga memberi amaran bahawa kehadiran DAP mungkin mengelirukan pengundi dan dieksploitasi pembangkang, yang berpotensi memudaratkan kempen BN.
Pada 18 Julai lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, mengumumkan Ketua Pemuda Umno negeri, Azmawi Fikri Abdul Ghani, sebagai calon BN untuk PRK Nenggiri.
Penamaan calon bagi PRK Nenggiri ditetapkan pada 3 Ogos ini, manakala pengundian pada 17 Ogos.
Kerusi itu diisytiharkan kosong oleh speaker DUN Kelantan, berikutan pemberhentian keahlian penyandangnya, Azizi Abu Naim, dalam Bersatu pada 13 Jun lalu, selepas Ahli Parlimen Gua Musang itu berikrar menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada November tahun lalu.- HMetro Online –
IMedikel TV






