LONDON: Kevin De Bruyne tidak bersetuju terma peribadi bersama kelab Arab Saudi, Al-Ittihad, menurut talkSPORT.
Dilaporkan sebelum ini ikon Manchester City itu sudah bersetuju dengan terma peribadi untuk berpindah ke Asia Barat bagaimanapun perjanjian sebegitu tidak mungkin berlaku ketika ini.
Kapten Belgium itu menjadi sasaran kelab Liga Pro Saudi itu bagaimanapun kelab De Bruyne meminta £100 juta (RM605 juta).
De Bruyne berada dalam tahun terakhir kontraknya di City dan perunding di Arab Saudi gembira untuk menanti hingga dia boleh didapati secara percuma pada musim panas akan datang.
Turut difahamkan De Bruyne lebih suka berpindah ke Al-Hilal jika dia mahu beralih angin ke Arab Saudi kerana kelab itu menjadi wakil buat negara Teluk itu pada Piala Dunia Kelab 2025.
Al-Ittihad, yang menampilkan Karim Benzema, N’Golo Kante dan Fabinho, turut difahamkan menimbang untuk membida rakan sepasukan De Bruyne di City, Ederson.
TalkSPORT turut melaporkan Al-Ittihad bercadang untuk membeli penjaga gol West Ham, Alphonse Areola, namun tiada sebarang rundingan rasmi mengenainya lagi.
Al-Ittihad juga dijangka melengkapkan pembelian Moussa Diaby dari Aston Villa minggu depan.
Villa agak sibuk dalam jendela perpindahan semasa dengan mengikat tujuh pemain baharu termasuk pertahanan kiri Ian Maatsen dari Chelsea dan bintang Hull City, Jaden Philogene. – AGENSI,BH Online –
Imedikel TV






