Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik pengumuman daripada Kementerian Komunikasi yang menawarkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataan media, berkata Pakej Rahmah Prabayar Siswa yang diperkenalkan sejajar dengan hasrat kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup.
“Dalam Pakej Rahmah Prabayar Siswa, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang pembayaran tetapi syarikat telekomunikasi bermurah hati untuk mengurangkan caj kepada mahasiswa.
“Bagi pihak KPT, saya merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Kerajaan, Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi terlibat dan semua pihak yang sentiasa cakna dan prihatin untuk membantu mengurangkan beban mahasiswa,”katanya.
Kerjasama strategik dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat ini sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar mendapatkan liputan komunikasi dan internet lebih baik semasa sesi pengajian dan pembelajaran.
IMedikel TV






