Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberi peruntukkan sebanyak RM2.5 juta kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi membiayai pelaksanaan Program Pembangunan Perniagaan Koperasi tahun ini.
Menurut kenyataan media Pejabat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta adalah untuk program pembangunan perniagaan manakala RM500,000 untuk Tabung Pendidikan Angkasa (TAPAK).
“Dana tersebut bertujuan untuk memasarkan produk secara dalam talian atau fizikal untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
“Saya berharap program ini dapat membantu mendapatkan sijil halal dan program pembangunan lain seperti pemerkasaan peniagaan, intervensi perniagaan koperasi dan pendigitalan koperasi,” katanya selepas menyampaikan replica cek kepada Presiden ANGKASA, Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah pada majlis ringkas sebelum Taklimat Kongres Koperasi Malaysia 2024 di Bilik Gerakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini, semalam.
Selain itu, katanya TAPAK pula bertujuan memberi kemudahan untuk membina dan meningkatkan taraf pendidikan komuniti koperasi.
“Kemudahan pembiayaan pendidikan boleh ubah ini disediakan kepada anggota koperasi, anak anggota koperasi dan kakitangan koperasi yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana atau Doktor Falsafah di dalam negara.
“Dana berjumlah RM500 ribu ini bakal memberi manfaat kepada 141 pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta,” katanya.
IMEdikelTV






