Home Segmen Kesihatan APAKAH PENYEBAB SENGAU?

APAKAH PENYEBAB SENGAU?

471
0

APAKAH PENYEBAB SENGAU?

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Bagi mereka yang mempunyai masalah sengau mungkin akan berasa malu untuk bertutur atau bercakap di khalayak ramai kerana suara adalah penting dalam komunikasi dua hala.

Menurut portal myhealth sengau adalah kualiti suara yang terhasil apabila pengaliran udara yang berlebihan keluar melalui rongga hidung (nasal cavity) semasa bercakap.

Masalah ini boleh berlaku apabila terdapat klef (sumbing). Ia juga boleh berlaku apabila anak tekak (uvula) yang berada di hujung lelangit lembut tidak berfungsi dengan baik ketika proses pertuturan berlaku.

Proses Pertuturan
Lelangit (palate) mulut boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu lelangit keras dan lelangit lembut. Lelangit lembut ini bersambung dengan uvula. Semasa pertuturan yang normal uvula akan terangkat ke atas bagi menutup ruang ke rongga hidung.

Hampir kesemua bunyi-bunyi pertuturan terhasil dengan pengaliran udara di rongga mulut, hanya beberapa bunyi sahaja yang dihasilkan melalui pergeluaran udara melalui hidung iaitu bunyi-bunyi nasal.

Bunyi-bunyi nasal adalah bunyi /m/, /n/, /ng/ dan /ny/. Ketika bunyi-bunyi nasal dihasilkan, uvula berada dalam keadaan rehat dan tidak terangkat.

Punca Sengau
a) Klef Lelangit Keras Dan Lembut

  • Kanak-kanak dengan klef lelangit merupakan individu berisiko tinggi untuk mempunyai masalah sengau. Klef lelangit menyebabkan udara keluar melalui rongga hidung. Kanak-kanak yang mempunyai klef lelangit lembut berisiko tinggi untuk mempunyai masalah ketidakfungsian uvula atau ketidak lengkapan uvula, uvula pendek berbanding orang biasa.

b) Masalah Saraf

  • Pergerakkan uvula dikawal oleh saraf. Masalah saraf (seperti kanak-kanak cerebral palsi atau kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak) boleh menyebabkan ketidakfungsian uvula. Uvula tidak terangkat ketika proses pertuturan terjadi.

c) Masalah Pendengaran

  • Saringan pendengaran perlu dilakukan pada kanak-kanak yang mempunyai masalah sengau. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran juga berisiko tinggi untuk mempunyai masalah sengau. Masalah pendengaran menyebabkan bunyi-bunyi mereka dengar berbeza berbanding orang biasa.

Pengesanan masalah sengau dilakukan oleh Patologis Pertuturan dan Bahasa dengan menilai sampel pertuturan. Kanak-kanak yang mempunyai masalah sengau tidak menghasilkan bunyi-bunyi oral (konsonant dan vowel) dengan baik hanya bunyi-bunyi nasal yang dihasilkan dengan baik.

Selain itu, pengesanan boleh dilakukan dengan meletakkan cermin kecil di bawah lubang hidung kanak-kanak ketika menghasilkan bunyi-bunyi oral.

Jika kanak-kanak mempunyai masalah sengau, kabus akan terhasil pada cermin ketika menghasilkan bunyi-bunyi oral.

Penilaian endoskopi juga boleh dilakukan di mana doktor memasukkan kamera kecil melalui lubang hidung ke rongga hidung untuk melihat pergerakkan lelangit lembut dan uvula ketika menghasilkan bunyi-bunyi pertuturan.

Antara rawatan yang dijalankan kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah sengau adalah seperti berikut:
a) Pembedahan

  • Pembedahan bagi menutup klef lelangit keras atau lembut. Penutupan klef ini mampu mengurangkan sengau.

b) Prosthesis Pertuturan

  • Prosthesis (alat bantu) pertuturan dibuat oleh pakar pergigian (orthodontist) untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah sengau yang disebabkan oleh klef lelangit. Prosthesis pertuturan ini dipakai pada lelangit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here