LONDON: Roy Keane, Gary Neville dan Ian Wright bersetuju Cristiano Ronaldo perlu melupakan kancah bola sepak antarabangsa.
Portugal muncul antara pasukan pilihan awal untuk menjuarai Euro 2024 namun mereka tersingkir di tangan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir hujung minggu lalu.
Ronaldo diturunkan dalam kesebelasan utama semua lima perlawanan pasukannya namun gagal menjaringkan sebarang gol.
Difahamkan dia beraksi kejohanan terakhir buat negaranya di Jerman kerana dia akan berusia 41 tahun pada pusingan akhir Piala Dunia akan datang dan Keane, Neville dan Wright berasakan ia masanya untuk melangkah pergi.
Wright berkata dalam Stick to Football: The Overlap Special: “Portugal patut berasa amat kecewa (tersingkir daripada Euro 2024) kerana betapa bagusnya mereka – apabila anda lihat mereka dari benteng pertahanan hingga ke serangan.
“Cara dia (Ronaldo) beraksi pada Euro 2024, sehebat seperti dulu, pastinya Diogo Jota berasa amat kecewa dia tidak dapat turun ke padang.
“Apa yang saya lihat dia (Ronaldo), dia tidak mampu lagi berada pada tahap ini. Sebagus mana dia pun, secergas mana dia pun, semangat juang dia pun, anda boleh lihat dia tidak mampu untuk melakukan jaringan, gerakan dengan satu tandukan, dia tidak dapat melepasi seorang pemain pertahanan kini.”
Keane menambah: “Dia (Ronaldo) patut berehat dan melupakan kancah bola sepak antarabangsa dan jika dia masih beraksi di peringkat kelab, maka tunggu saja Piala Dunia Kelab apabila ia tiba.
“Kita lihat kepada (Harry) Kane apabila Kane kurang berfungsi dan penjaring utama anda tidak beraksi baik, anda bermain dengan 10 orang. Apabila anda bermain di tahap tertinggi, anda tidak boleh membawa sesiapa saja. Pergerakan dia (Ronaldo) masih ada di sana – menentang Perancis, cemerlang.
“Dia (Ronaldo) boleh terus bermain tetapi tidak bagi bola sepak antarabangsa. Berapa ramai pemain yang kita ketahui berhenti beraksi di peringkat antarabangsa pada usia muda dan jelas meneruskan karier yang bagus di peringkat kelab.”
Neville pula mencadangkan kehadiran Ronaldo boleh mendatangkan mudarat terhadap pasukannya. – AGENSI,BH Online –
Imedikel TV






