WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris berkata dia ‘bangga’ menjadi gandingan Joe Biden ketika spekulasi mengenai nasib Parti Demokrat ke Rumah Putih susulan perdebatan antara Biden dan Donald Trump minggu lalu dilihat sangat buruk.
Harris, 59, sebelum ini disebut-sebut sebagai calon yang paling layak untuk menggantikan Biden yang kini berusia 81 tahun sekiranya beliau memutuskan berundur dari Pilihan Raya Presiden.
Harris memaklumkan CBS News: “Saya bangga menjadi gandingan Joe Biden”.
“Joe Biden adalah calon kami. Kami pernah mengalahkan Trump sekali dan kami akan mengalahkannya lagi,” katanya.
Sementara itu, Biden menjelaskan perjalanan antarabangsa secara berterusan menjadi punca utama prestasi debatnya minggu lalu bersama Trump dilihat agak teruk.
Katanya, itu bukannya alasan tetapi menjelaskan keadaan sebenar sambil mengakui beliau mengambil langkah kurang bijak kerana melakukan perjalanan ke seluruh dunia beberapa kali sebelum debat itu berlangsung.
Beliau juga mengakui tidak mendengar nasihat kakitangannya dan hampir tertidur di atas pentas. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






