Home Hiburan RITA CABAR DIRI BERLAKON SITKOM

RITA CABAR DIRI BERLAKON SITKOM

170
0

KUALA LUMPUR: Aktres berpengalaman, Rita Rudaini menganggap peluang terbabit dalam sitkom baharu, Jabatan Call Centre (JCC) terbitan TV3 adalah lembaran baharu dalam perjalanannya sebagai anak seni.

Aktres berusia 48 tahun yang cukup sinonim dengan filem Mami Jarum itu mengakui teruja, namun timbul rasa gementar apabila buat kali pertama diberi tugas menjayakan sitkom.

Rita atau nama lengkap, Rita Rudaini Mokhtar, berkata JCC menjadi cabang seni baharu diceburi sejak melangkah masuk ke dunia lakonan pada 1999.

Dengan membawa watak ‘ladyboss’ bernama Rozy, Rita berkata, ia berjalan lancar dengan bantuan semua pihak, termasuk pelakon lain biarpun pada awal rasa kurang yakin.

“Sebenarnya ini adalah kali pertama saya berlakon sitkom. Semasa dapat tawaran ini saya tak terus berikan jawapan, tapi ambil masa untuk tanya kawan sebab hendak dapatkan nasihat.

“Rakan artis cadangkan saya cuba berlakon sitkom sebab tak pernah buat. Disebabkan itu, saya terima tawaran ini sebab hendak tahu bagaimana situasi sebenar penggambaran dalam studio.

“Selepas terima barulah saya dapat tahu barisan pelakon lain,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sesi temu ramah bersama pelakon sitkom komedi, JCC di Glenmarie, di sini, baru-baru ini.

Finalis program pencarian bakat, Dewi Remaja bagi edisi 1998/1999 itu berkata, dia lega apabila ada antara pelakon yang boleh membantunya, selain berasakan sitkom pertama diceburinya sangat menyeronokkan.

“Bila tengok ada Izzue Islam, saya rasa dia boleh bantu sebab kami pernah bekerjasama. Bila terima, saya fikir biar betul apa saya buat ini.

“Tapi, bila bercerita dengan rakan pelakon, mereka anggap ini adalah perkara menyeronokkan. Memang betul ini adalah pengalaman baru.

“Bila pergi sesi ‘script reading’ saya rasa gementar sebab takut tak boleh masuk, tapi Alhamdulillah kami profesional dan saling membantu. Saya nampak set di studio pun ada rasa gementar,” katanya.

Mengulas watak dibawa, Rita menyifatkan ia mempunyai persamaan dengan karakter sebenarnya ketika di luar.

“Saya minta watak tegas dan ada kelakar sikit dengan menggunakan dialek utara. Sebab kalau saya guna dialek biasa rasa macam tak sampai pula.

“Kalau guna dialek utara akan nampak lebih kelakar, walaupun garang. Antara persamaan saya dengan watak ini adalah gelaran ibu.

“Watak Rozy digambarkan wanita mulut tidak celupar, tapi penuh sindiran, kalau lihat ada juga seperti karakter sebenar saya.

“Dalam kelakar, ada sindiran. Sebelum ini, saya juga pernah bawa watak komedi dalam telemovie dan drama,” katanya.

Pada masa sama, Rita memberitahu, walaupun sudah dianggap senior dalam bidang lakonan, tetapi dia masih mengharapkan barisan pelakon lain untuk membantu.

“Alhamdulillah, bila bertemu ketika ‘script reading’ semuanya berjalan lancar. Walaupun dianggap senior, tapi saya tetap mengharapkan mereka.

“Sebab ada antaranya pernah buat sitkom seperti Izzue dan lain-lain. Tapi kami bersama menjayakan sitkom ini,” katanya.

Watak Rozy dibawa Rita adalah wanita berusia 40-an, tetapi kelihatan seperti 30-an dan sangat cerewet sehingga dipanggil ‘ladyboss’.

Antara lain watak berkenaan sering mengeluarkan kata-kata penuh sindiran, walaupun mulutnya tidak celupar dan bakal tampil dengan fesyen berbeza pada setiap episod.

Selain Rita dan Izzue, sitkom JCC turut menampilkan Shiha Zikir, Andi Bernadee dan Aya Amiruddin. Ia bakal disiarkan bermula 9 Ogos hingga 27 September setiap Jumaat, jam 10 malam di TV3. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here