Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan menyantuni masyarakat Gua Musang dan memberi penjelasan berkaitan isu semasa agar tidak menimbulkan sebarang fitnah terhadap dasar kerajaan menerusi karnival kita MADANI di Dataran Kesedar, pada Khamis.
Pengarahnya , Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata pendekatan itu perlu diperjelas kepada penduduk di kawasan tersebut agar mereka menerima maklumat yang jelas dan tepat.
“Kita ambil pendekatan ini menerusi karnival kita MADANI yang diadakan di Dataran Kesedar, Gua Musang untuk menjelaskan kepada penduduk sekitar pedalaman agar tidak mudah terpengaruh dengan isu yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Jadi saya rasa ianya sesuai dengan beberapa topik yang kita bawakan dalam pengisian program ini seperti ketirisan sumber negara ancaman kepada kedaulatan dan kemakmuran negara dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui selepas program karnival kita MADANI di Dataran Kesedar, di sini, semalam.
Muhd Nor Aswadi berkata, pihaknya berterima kasih kepada seluruh agensi kerajaan serta swasta yang terlibat dan menjadikannya sebagai rakan strategik.
Katanya karnival tersebut dimeriahkan oleh golongan kanak-kanak daripada tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerusi pertandingan mari mewarna serta gubahan tuala daripada golongan ibu di bawah parlimen Gua Musang.
Jelasnya, program tersebut mendapat sambutan baik daripada orang ramai termasuk penduduk di kawasan Merapuh yang turut berkunjung ke karnival tersebut.
“Kita lihat warga Merapuh juga hadir memeriahkan program ini serta mengambil manfaat daripada aktiviti yang kita sediakan selama dua hari ini,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya mengambil kesempatan untuk menyampaikan sumbangan kepada warga ASNAF serta mengadakan cabutan bertuah barangan penajaan daripada agensi swasta termasuk 80 barangan daripada IMedikel Pharma Holdings.
Selain itu, beliau turut berterima kasih atas sokongan penuh yang dilontarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim yang sanggup turun padang menyantuni rakyat menerusi program tersebut.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, Nik Kamaruzaman Nik Husin yang merasmikan program tersebut.
IMedikel TV






