Los Angeles: Seorang lelaki berada dalam keadaan kritikal di hospital selepas dilanggar rollercoaster di taman hiburan di Ohio, Rabu lalu, lapor The Independent.
Kejadian itu berlaku kira-kira 8 malam di taman Kings Island di Warren County, apabila seorang lelaki berusia 38 tahun memasuki kawasan larangan berhampiran rollercoaster Banshee.
Pegawai keselamatan taman dan responden pertama bergegas ke tempat kejadian dan menghubungi 911 untuk melaporkan bahawa seorang lelaki dilanggar. Dia dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Cincinnati.
Pegawai tidak mengeluarkan maklumat mengenai identiti lelaki itu, tetapi polis berkata, mangsa parah.
Taman itu menutup operasi ketika pegawai menjalankan siasatan.
Lelaki itu dilaporkan menghampiri seorang pekerja dan berkata, dia tertinggal sesuatu dan ingin mendapatkannya.
Pekerja itu memberitahunya tiada apa yang boleh mereka lakukan sehingga rollercoaster ditutup untuk petang itu.
Saksi berkata, lelaki itu merayau berhampiran tunggangan dan melalui pintu pagar larangan.
Dia kelihatan berpakaian serupa dengan pekerja lain sehingga orang menyangka dia bekerja di sana, atau seorang pengurus.
Menurut stesen berita tempatan WCPO, seorang saksi berkata bahawa bunyi seperti objek melanggar rusa ketika kemalangan itu berlaku.
Taman sudah dibuka selama setengah abad dan digambarkan di laman webnya sebagai destinasi hiburan utama di Midwest.
Taman hiburan dan air terletak setengah jam pemanduan dari pusat bandar Cincinnati.Rollercoaster Banshee dibuka pada April 2014 adalah sepanjang 1,257 meter. – AGENSI, HMetro –
IMEDIKEL TV






