Home Buletin Semasa TELEFILEM KHAS HARI BAPA UBATI RINDU IKA NABELLA

TELEFILEM KHAS HARI BAPA UBATI RINDU IKA NABELLA

161
0

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun tidak terbabit dengan kegiatan seni, Ika Nabella kembali ke layar kaca menerusi telefilem terbitan RTM berjudul, Sebelum Sesuatu yang bakal ditayangkan sempena Hari Bapa di TV1 pada 22 Jun ini.

Ika atau nama sebenar, Nabila Abdul Rahim, 35, sebelum ini mengambil keputusan berehat daripada bidang lakonan bagi memberi tumpuan membesarkan cahaya mata sulungnya, Muhammad Noah Zayn yang kini berusia empat tahun.

“Saya berehat sebab melahirkan anak dan mahu membesarkannya. Saya ambil masa bertenang sekejap. Sebenarnya, saya sudah berlakon sejak 2009. Jadi, tiada rasa hendak berhenti sepenuhnya.

“Cuma saya ambil sekejap sahaja masa untuk berehat sebab mahu besarkan anak. Apabila anak okay dan besar, memang niat saya mahu teruskan dalam bidang lakonan ini selagi masih ada tawaran.

“Saya selalu cakap dengan suami bahawa lakonan sudah dalam darah. Kadang-kadang dalam tempoh tiga tahun, ada rasa rindu sebab perkara yang sudah biasa buat sejak remaja.

“Dalam tempoh itu, tawaran (berlakon) ada, cuma, tidak boleh cerita (episod) yang panjang. Bukan tidak mahu terima, tetapi, ada kekangan dan saya perlu membesarkan anak.

“Sekarang anak sudah besar, pandai bercerita dan pergi ke sekolah,” katanya.

Ika yang juga bekas peserta musim keenam program realiti, Akademi Fantasi (AF6) pada 2008 memberitahu, naskhah Sebelum Sesuatu adalah permulaan untuk dia membuat kemunculan semula.

“Apabila dapat tawaran daripada RTM mengenai cerita khas sempena Hari Bapa, saya fikir kenapa tidak untuk terima dan buat kemunculan semula. Saya percaya cerita ini akan beri kesan baik kepada penonton terutama anak-anak.

“Kalau orang nampak okay walaupun saya sudah lama tak berlakon, Insya-Allah semua akan baik,” katanya ditemui pada majlis pratonton telefilem Sebelum Sesuatu di Wisma TV Angkasapuri di sini, kelmarin.

Mengulas pemilihan naskhah selepas bergelar ibu, Ika sudah berbincang dengan suami, Muhammad Zaid untuk membintangi naskhah yang mampu memberi impak positif kepada penonton.

“Sebarang tawaran kalau sesuai dengan masa dan cerita saya akan ambil. Saya pernah cakap dengan suami, kalau hendak berlakon semula, saya mahu cerita yang boleh memberi penonton iktibar.

“Saya tidak mahu cerita yang banyak mengajak orang kepada perkara negatif sebab penonton daripada pelbagai usia. Kita tidak tahu sama ada lakonan itu boleh mempengaruhi mereka. Saya mahu cerita yang boleh beri impak positif,” katanya.

Selain Ika, telefilem Sebelum Sesuatu arahan Danny Alamsyah menampilkan Bohari Ibrahim, Johani As’ari, Amerul Affendi, Khai Sabri, Fazlina Ahmad Daud, Ashraf Muslim dan Zainon Ismail. – BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here