Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan seorang kenalan menggunakan kayu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini pada 6 Jun lalu.
Dinie Asyraf Mohamad Azhar, 27 membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kenalan terhadap Muhammad Azharuddin Mohd Yusoff, 30, menggunakan senjata kayu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di salah sebuah sekolah di sini pada 5.30 petang, 6 Jun lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman tersebut.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin dan tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.
Terdahulu Syazalia menawarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh dan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kesalahannya.
Bagaimanapun, Ariyani memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM3,000 kerana tertuduh mempunyai tanggungan dua anak masih kecil dan isteri yang tidak bekerja.
Rais Imran kemudian membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 28 Julai depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen serta menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
IMEDIKEL TV






