Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Hubungan seksual dalam kehidupan rumahtangga memerlukan kepuasan antara kedua-dua pasangan.
Namun, terdapat lelaki khususnya suami mempunyai kecenderungan ejakulasi pramatang.
Persoalannya apa itu ejakulasi pramatang?
Menurut portal The Malaysian Medical Gazzette, ia adalah masalah suami yang mengalami ejakulasi terlalu cepat dan pancut awal kerana hanya mampu bertahan selama 1 hingga 2 minit sahaja.
Ini juga dikatakan masalah rangsangan seksual yang sedikit apabila proses hubungan seksual bermula.
Hal ini akan mengakibatkan suami dan isteri atau salah seorang daripada mereka akan mengalami keresahan dan ketidakpuasan dalam melakukan hubungan kelamin apabila pasangan tidak mencapai orgasme.
Dalam masalah ini, terdapat dua jenis ejakulasi pramatang iaitu ‘lifelong’ (seumur hidup) dan ‘acquired’ (diperoleh).
Ejakulasi pramatang ‘lifelong’ berlaku disaat pertama kali kedua pasangan itu melakukan hubungan seksual dan setiap kali hubungan kelamin itu dilakukan.
Ejakulasi pramatang ‘acquired’ pula berlaku pada lelaki yang pada awalnya mempunyai jangkamasa ejakulasi yang normal tetapi kemudiannya mendapat masalah ejakulasi pramatang.
Secara dasar, faktor berlakunya ejakulasi pramatang dikaitkan dengan faktor psikologi yang meningkatkan tekanan seseorang seperti kerisauan yang melampau, sejarah seksual atau gangguan seksual, keadaan zakar yang terlalu sensitif pada sentuhan apabila melakukan hubungan kelamin.
Tanpa disedari, sekiranya ini berterusan, ia boleh menyumbang kepada masalah ketidaksuburan akibat air mani tidak dapat memasuki faraj secara optimum, menimbulkan rasa kebimbangan, malu dan kurangnya kekerapan hubungan seksual tanpa penyelesaian yang terbaik.
Bagaimanapun, kedua-dua pasangan memainkan peranan penting untuk mencari kesefahaman agar mampu membantu untuk meningkatkan keyakinan diri dalam melakukan hubungan kelamin.
RAWATAN
Ejakulasi pramatang ‘lifelong’
- Memerlukan ubatan sebagai rawatan pertama kemudian dibantu dengan rawatan psikoterapi.
Ejakulasi pramatang ‘acquired’
- Rawatan pertama ialah rawatan psikoterapi sekiranya tidak membantu, pesakit memerlukan rawatan ubat yang perlu diambil selama 1-3 jam sebelum melakukan hubungan seksual dan diambil jika perlu sahaja.
Kesimpulannya, penyakit ejakulasi pramatang adalah penyakit umum di kalangan lelaki namun jarang diperkatakan kerana faktor yang memalukan untuk mendapatkan rawatan.
Pesakit yang mengalami masalah ini harus berfikiran terbuka untuk mendapatkan rawatan yang tepat namun kaedah paling berkesan ialah komunikasi sesama pasangan itu sendiri.
IMEDIKEL TV






