LONDON: Erik ten Hag sedia bertanggungjawab di atas kekalahan 4-0 Manchester United di tangan Crystal Palace, tetapi berkata dia adalah pengendali yang tepat untuk mengubah nasib kelab.
Palace melengkapkan dua kemenangan liga dalam semusim ke atas United apabila Michael Olise meledak dua gol, dengan Jean-Philippe Mateta dan Tyrick Mitchell turut menemui sasaran.
Kekalahan meletakkan anak buah Ten Hag di tangga kelapan dan bakal terlepas kelayakan ke kejohanan Eropah serta penamat Liga Perdana Inggeris terburuk mereka.
Masa depan pengendali dari Belanda itu juga semakin pudar untuk terus kekal di Old Trafford yang kini dalam penstrukturan semula oleh pemilik baharu, Jim Ratcliffe.
“Jelas sekali kami beraksi di bawah prestasi sebenar. Kami tidak beraksi seperti dirancang dan ini tidak cukup bagus,” kata Ten Hag.
Pilihan pemain Ten Hag sekali lagi dihadkan dengan senarai kecederaan yang bertambah panjang.
Kapten Bruno Fernandes terlepas aksi kelab kerana kecederaan buat pertama kali dalam kariernya, manakala gandingan England, Marcus Rashford dan Harry Maguire juga tidak beraksi.
Ten Hag meletakkan gandingan Casemiro dan Jonny Evans sebagai bek tengah, dan ternyata percaturan itu membuka ruang buat Palace merobek benteng United.
Ketika ditanya sama ada dia adalah orang yang tepat untuk mengubah nasib United, Ten Hag menjawab: “Sudah tentu.
“Jika kami mempunyai pemain-pemain yang diperlukan dan skuad yang bagus, tetapi hilang keseluruhan barisan pertahanan, pasti akan ada masalah.
“Saya akan terus berjuang dan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin. Ia tidak cukup bagus, jadi saya bertanggungjawab sepenuhnya, tetapi saya akan cuba bangkit dan bersedia untuk perlawanan Ahad ini.
Situasi mungkin akan menjadi lebih buruk buat Ten Hag apabila pendahulu kejuaraan, Arsenal bertandang ke Old Trafford hujung minggu ini.
United belum pernah menamatkan liga di luar kelompok tujuh teratas sepanjang era Liga Perdana Inggeris.
Mereka perlu menewaskan Manchester City di final Piala FA untuk layak ke kejohanan Eropah musim depan.
Di bawah kendalian Ten Hag, United tewas 4-0 di Brentford, 7-0 kepada Liverpool dan 6-3 di laman Manchester City.
Musim ini, mereka dibolosi 81 kali dalam semua pertandingan, rekod paling buruk kelab sejak musim 1976-77. – AFP,BH Online –
Imedikel TV






