LONDON: Chelsea mengendurkan tekanan terhadap pengurus Mauricio Pochettino selepas kemenangan 3-2 ke atas Newcastle awal pagi tadi melonjakkan The Blues kembali bersaing merebut tempat dalam pertandingan Eropah musim depan.
Nicolas Jackson (minit keenam), Cole Palmer (m-57) dan Mykhailo Mudryk (m-76) meledak gol buat tuan rumah di Stamford Bridge.
Chelsea kekal di tangga ke-11 namun menghampiri empat mata berbanding pasukan tangga ketujuh West Ham, yang sekurang-kurangnya boleh meraih tempat ke Liga Konferens Europa.
Kekalahan ke-12 Newcastle musim ini meninggalkan The Magpies hanya satu mata di depan Chelsea di tangga ke-10.
Tekanan turut memuncak buat Eddie Howe ketika Newcastle yang menerima dana dari Arab Saudi gagal meneruskan kecemerlangan musim lalu apabila berakhir di tangga keempat dan layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Pelawat meledak dua gol menerusi penyerang Sweden, Alexander Isak pada minit ke-43 dan Jacob Murphy pada minit ke-90. – AFP,BH Online-
Imedikel TV






