Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SEREMBAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukan sebanyak RM135.8 juta kepada Negeri Sembilan.
Menurut Menterinya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan, berkata peruntukan itu membabitkan pelaksanaan kerja penyenggaraan jalan, cerun, jambatan dan bangunan Gunasama Persekutuan untuk tahun 2024.
“Selain itu, KKR dan Jabatan Kerja Raya turut menzahirkan komitmen untuk melaksanakan sebanyak sembilan buah projek pembangunan Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 billion.
“KKR juga telah bersetuju untuk mempertimbangkan dua cadangan permohonan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Aminuddin melibatkan kerja-kerja pemasangan Smart Traffic Light di beberapa lokasi di Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan,”katanya.
Menurutnya pemasangan Smart Traffic Light tersebut adalah langkah proaktif KKR dalam memperkasa pelaksanaan inovasi berimpak tinggi dengan menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar atau Smart Traffic Light (STL).
“Pada tahun ini, KKR telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM30juta untuk pelaksanaan STL di 148 lokasi persimpangan Jalan Persekutuan seluruh negara.
“KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga dalam sesi rundingan bersama-sama agensi lain dan syarikat pencadang sedang merancang pelaksanaan tiga buah projek Penswastaan Lebuhraya di Negeri Sembilan, termasuklah cadangan pembinaan Lebuhraya Paroi ke Senawang yang menjadi keutamaan kerajaan Negeri Sembilan,”katanya.
KKR berhasrat memperluaskan Program MyJalan ini ke seluruh Malaysia bagi merealisasikan impian dalam menjadikan jalan raya di Malaysia dalam kondisi terbaik menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua jabatan yang terlibat dalam sektor penyenggaraan dan berkaitan jalan raya di Malaysia.
Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Mohd Sakeri Abdul Kadir dan juga pegawai-pegawai tertinggi KKR dan pegawai tertinggi Kerajaan Negeri. – KKR –
IMedikel TV






