Home Sukan SATELIT 2.3 METRIK JATUH KE BUMI, PAGI ESOK

SATELIT 2.3 METRIK JATUH KE BUMI, PAGI ESOK

Paris: Satelit milik Agensi Angkasa Eropah (ESA), ERS-2 seberat 2.3 metrik tan dijangka memasuki semula ruang udara dengan sebahagian besarnya terbakar di atmosfera bumi, 6.14 pagi esok, lapor CNN.

Menurut ESA, satelit ERS-2 mempunyai anggaran jisim 2,294 kilogram selepas kehabisan bahan apinya, menjadikannya serupa dengan saiz serpihan angkasa lepas yang memasuki semula atmosfera bumi setiap minggu atau lebih.

“Pada kira-kira 80 kilometer di atas permukaan bumi, satelit itu dijangka pecah dan sebahagian besar serpihan akan terbakar di atmosfera.

“Memandangkan kemasukan semula kapal angkasa itu adalah semula jadi, tanpa kemungkinan melakukan gerakan, mustahil untuk kita mengetahui dengan tepat di mana dan bila ia akan memasuki semula atmosfera dan mula terbakar.

“Beberapa serpihan boleh mencapai permukaan bumi, tetapi ia tidak akan mengandungi sebarang bahan berbahaya dan kemungkinan besar akan jatuh ke lautan,” kata agensi itu.

ESA berkata, kemungkinan individu cedera akibat serpihan angkasa setiap tahun adalah kurang satu dalam 100 bilion, kira-kira 1.5 juta kali lebih rendah daripada risiko terbunuh dalam kemalangan di rumah.

“Pejabat Serpihan Angkasa ESA bersama rangkaian pengawasan antarabangsa, sedang memantau dan menjejaki satelit ERS-2 yang memerhati Bumi.

“ESA juga menyediakan kemas kini langsung di laman web rasmi mereka,” katanya.

ESA berkata, satelit ERS-2 mula memerhati bumi pertama kali dilancarkan pada 21 April 1995. Ia adalah satelit paling canggih seumpamanya.

Bersama kembarnya, ERS-1, satelit itu mengumpul data berharga mengenai lautan dan permukaan daratan serta memerhatikan bencana seperti banjir dan gempa bumi di kawasan terpencil.

Data yang dikumpul ERS-2 masih digunakan sehingga hari ini. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here