BAITULMAQDIS: Ketika penduduk di Gaza, Palestin bergelut dengan krisis kebuluran terburuk, tentera Israel didakwa lebih kejam apabila merakam video menunjukkan makanan dinikmati ketika perang.
Middle East Monitor (MEM) memetik video tular yang menunjukkan seorang tentera Israel mengeluarkan bekalan makanannya dan menerangkan satu persatu jenis hidangan itu.
“Apabila kami berada di Gaza, kami tak boleh makan di restoran.
“Jadi kami bawa makanan kami dalam kotak ini yang boleh dimakan empat tentera kami dalam sehari,” katanya.
Dakwa tentera itu, hidangan mereka lengkap nutrisi daripada pagi hingga ke malam.
“Hari kami dimulakan dengan sarapan penuh protein seperti tuna, jagung, kacang pea dan zaitun yang kami makan bersama roti putih serta ada sos.
“Untuk pencuci mulut kami ada nanas dan halva.
“Kadangkala kami gunakan kreativiti, buat roti tuna bersama nanas selain kami juga bawa tortila dan daging stik,” katanya.
Perkongsian itu tular sejak semalam, meraih pelbagai reaksi terutama kecaman dan amarah, disebabkan keadaan yang menimpa penduduk Gaza dan krisis kebuluran yang dihadapi.
Ketika ini, Gaza menghadapi situasi kemanusiaan terburuk dengan 80 peratus penduduknya dalam kebuluran akibat serangan dan sekatan berterusan Israel. -AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






