KOTA BHARU: Program Gagal Lulus (GALUS) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan inisiatif memperluas akses pendidikan kepada golongan yang tidak mempunyai kelayakan untuk melanjutkan pengajian sama ada pada peringkat sijil atau diploma di politeknik dan kolej komuniti (POLYCC).
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Zahari Ismail berkata, program GALUS ditawarkan melalui inisiatif Microcredentials (MC).
“Ini merupakan salah satu tarikan baharu bagi semua masyarakat dan pelajar lepasan SPM GALUS dan kita akan pastikan semua orang boleh belajar sama ada di politeknik mahupun kolej komuniti.
“Setakat ini, borang kemasukan bagi pelajar kategori GALUS telah dikeluarkan dan kemasukan bagi fasa 1 akan dijalankan pada 4 Februari ini” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2024, di Politeknik Kota Bharu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pelajar lepasan SPM yang GALUS dan tidak mempunyai kelayakan masuk ke politeknik serta kolej komuniti masih berpeluang mendapat sijil yang diktiraf oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Pengambilan fasa 1 bagi pelajar GALUS dilaksanakan di tiga buah Kolej Komuniti iaitu Kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Komuniti Bandar Penawar dan Kolej Komuniti Pagoh,” katanya.
Jelas Zahari, program yang ditawarkan kepada pelajar GALUS adalah Sijil Fesyen dan Pakaian, Sijil Dandanan Rambut, dan Sijil Teknologi Binaan Bangunan.