JAKARTA: Seorang bekas menteri komunikasi Indonesia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas didapati bersalah melakukan rasuah dalam kes yang menyebabkan negara itu kerugian lebih AS$500 juta (RM2.3 bilion).
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Mahkamah antirasuah Indonesia mendapati bekas Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Johnny Gerard Plate bersalah kerana menggunakan kedudukannya untuk memperoleh kekayaan daripada projek telekomunikasi.
“Defendan didapati bersalah secara sah dan meyakinkan melakukan rasuah bersama-sama orang lain dan (mahkamah) menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada defendan,” kata Hakim Fahzal Hendri semalam.
Mahkamah juga memerintahkan lelaki berusia 67 tahun itu membayar denda satu bilion rupiah Indonesia (AS$63,750 atau RM298,592.25) atau menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan.
Tertuduh juga diperintahkan membayar 15.5 bilion rupiah sebagai ganti rugi atau asetnya disita oleh mahkamah.
Plate ditahan pada Mei kerana pembabitannya dalam projek stesen transceiver pangkalan (BTS), bertujuan menyediakan akses internet 4G ke kawasan terpencil di seluruh kepulauan, yang diketuai oleh sebuah agensi di bawah kementerian komunikasi.
Pejabat Peguam Negara (AGO) berkata penyelewengan dalam projek itu mengakibatkan kerugian keseluruhan sebanyak 8.03 trilion rupiah (AS$540 juta atau RM2.53 bilion).
Mahkamah mendapati Plate bersalah kerana memperoleh habuan 10 bilion rupiah (AS$638,500) daripada projek itu.
AGO melaporkan bahawa ia telah menemui penyelewengan dalam proses perolehan membabitkan syarikat tempatan dan asing dan menamakan lima suspek lain, termasuk seorang eksekutif anak syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei.
Indonesia menahan berpuluh-puluh pegawai awam kerana rasuah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2021, seorang bekas Menteri Hal Ehwal Sosial dipenjarakan selama 12 tahun selepas disabitkan kesalahan menerima rasuah AS$1.2 juta (RM5.6 juta) yang dikaitkan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin yang dilanda pandemik COVID-19.- AFP, BH Online –
IMEDIKEL TV






