Home Luar Negara 8 MAUT, 38 TERPERANGKAP LETUPAN LOMBONG

8 MAUT, 38 TERPERANGKAP LETUPAN LOMBONG

40
0

Beijing: Sekurang-kurangnya lapan pekerja maut, manakala puluhan lagi terperangkap di bawah tanah selepas berlaku letupan gas di sebuah lombong arang batu di utara China, lapor media rasmi pada Sabtu.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua, letupan itu berlaku pada 7.29 malam Jumaat di lombong arang batu Liushenyu di wilayah Shanxi.

Ketika kejadian, 247 pekerja berada di bawah tanah. Setakat 6 pagi Sabtu, 201 daripada mereka berjaya dibawa keluar dengan selamat.

Lapan pekerja disahkan maut, manakala 38 lagi masih terperangkap di bawah tanah, menurut pihak berkuasa pengurusan kecemasan tempatan yang dipetik Xinhua.

Operasi menyelamat masih diteruskan, sementara punca kemalangan sedang disiasat.

Xinhua sebelum ini melaporkan paras karbon monoksida iaitu gas beracun tanpa bau melebihi had di lombong berkenaan.

Beberapa mangsa yang masih terperangkap dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, menurut laporan terdahulu itu.

Shanxi antara wilayah yang lebih miskin di China adalah pusat utama perlombongan arang batu di negara berkenaan.

Tahap keselamatan lombong di China dilaporkan semakin baik sejak beberapa dekad lalu. Namun, kemalangan masih kerap berlaku dalam industri berkenaan yang sering dikaitkan dengan pengabaian protokol keselamatan.

China ialah pengguna arang batu terbesar di dunia dan pengeluar utama gas rumah hijau walaupun negara itu giat memperluaskan kapasiti tenaga boleh diperbaharui. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here