TUMPAT: Projek rintis bagi agensi tunggal sempadan negara (SBA) bakal dimulakan dengan 10 lokasi terpilih daripada 141 pintu masuk di seluruh negara yang bermula tahun hadapan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemilihan 10 pintu masuk negara itu akan dijalankan mengikut beberapa ciri dan keunikan kes melibatkan pintu sempadan.
“Contohnya daripada 10 pintu masuk itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, ICQ Johor serta di Sabah.
“Lokasi ini adalah antara pintu masuk yang kita pilih kerana Johor dan KLIA terkenal dengan kesibukan, manakala di Rantau Panjang pula unik kerana sibuk pada waktu tertentu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Majlis Penyerahan Pos Barisan Hadapan Briged Tenggara (BDE TGRA) Pasukan Gerakan Am (PGA) Nibong, di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.
Terdahulu media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semasa Belanjawan 2024 akan mewujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA).
Saifuddin Nasution berkata bagi merealisasikan usaha tersebut, perbincangan terperinci berhubung projek rintis itu kini giat dijalankan dan dijangka awal tahun hadapan, ia boleh dimulakan.
Beliau berkata pihaknya akan mengutamakan dan mengguna pakai perjawatan sedia ada yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Perkara ini melibatkan perjawatannya tetapi kami akan utamakan perjawatan sedia ada. Jika benar-benar perlu, barulah kita akan memohon untuk perjawatan tambahan baharu.
“Usaha untuk menggerakkannya berbanding kalau kita kena tunggu perjawatan banyak prosesnya, oleh itu kita akan memanfaatkan sebahagian besar perjawatan sedia ada dan sekarang sedang dirangka struktur organisasinya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, sebanyak 151 pos kawalan PGA sedang dinaik taraf ketika ini melibat kos RM45 juta.
Katanya kesemua projek naik taraf itu akan siap sepenuhnya menjelang hujung bulan depan