KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro pemain profesional negara, Lee Zii Jia serta beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tidak dipertimbangkan untuk menggalas cabaran pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi keutamaan kepada objektif pasukan secara menyeluruh berbanding bergantung kepada pemain bintang.
Malaysia bakal bersaing pada BATC di Qingdao, China dari 3 hingga 8 Februari ini dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, menjelaskan pemilihan pemain dibuat berdasarkan perancangan jangka panjang.
“Untuk BATC, saya rasa tidak untuk Zii Jia dan Sze Fei-Izzuddin. Mungkin mereka dipertimbangkan bagi Piala Thomas,” katanya.
Menurut Kenny, BAM yakin pasukan negara mampu menghadapi kejohanan berpasukan Asia itu dan melihat peluang untuk memberi pendedahan kepada pemain pelapis di peringkat benua.
“Kita perlu tentukan objektif ke Qingdao. Sebab itu kita melihat kepada pendedahan pemain lain sebagai persiapan ke Piala Thomas,” katanya.
Skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan D bersama Indonesia dan Myanmar, dengan Indonesia dijangka menjadi cabaran paling getir di peringkat awal.
“Sasaran kita adalah untuk cuba menewaskan Indonesia. Memandangkan kita tidak diletakkan sebagai pilihan, kita perlu bertemu pasukan pilihan di peringkat kalah mati dan Indonesia antara pasukan itu,” katanya.
Namun, Kenny percaya Malaysia masih berpeluang untuk muncul juara kumpulan sekali gus memperoleh laluan suku akhir yang lebih baik.
“Bukan kita tiada peluang. Kita akan cuba dan masih ada harapan untuk muncul juara kumpulan. Jika itu berlaku, undian suku akhir mungkin lebih mudah,” katanya.
Malaysia dijangka menurunkan skuad terbaik yang ada dengan barisan perseorangan hampir dimuktamadkan, manakala perbincangan masih berjalan bagi menentukan kombinasi beregu terakhir.
“Saya percaya kita akan hantar pasukan terbaik. Untuk perseorangan, kita akan hantar pemain terbaik yang ada. Untuk beregu, masih ada perbincangan,” katanya.
Skuad lelaki negara dijangka dibarisi beregu nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, serta beregu nombor lima dunia, Man Wei Chong–Tee Kai Wun.
Selain itu, BAM turut mempertimbangkan beregu pelapis seperti Arif Junaidi–Yap Roy King dan Haikal Nazri–Choong Hon Jian bagi menimba pengalaman.
Dalam saingan wanita pula, Malaysia berada dalam Kumpulan W bersama China dan dengan hanya dua pasukan dalam kumpulan itu, skuad negara dijamin mara ke peringkat kalah mati serta tidak akan bertemu China di suku akhir.
“Untuk pasukan wanita, saya berpuas hati dengan undian ini. Walaupun bersama China, hanya dua pasukan dalam kumpulan, jadi kita pasti mara ke suku akhir dan tidak bertemu China pada pusingan seterusnya,” katanya.
Malaysia pernah muncul juara BATC pada 2022 di Shah Alam dan muncul naib juara pada edisi terakhir pada 2024, juga di Shah Alam, manakala pencapaian terbaik pasukan wanita adalah mara ke separuh akhir pada 2020 dan 2022.
Kenny memaklumkan penyerahan senarai akhir pemain dijangka dibuat dalam masa terdekat, dengan tarikh akhir pendaftaran sekitar hujung bulan ini. – HMetro Online –
IMedikel TV






