CHATTANOOGA, TENNESSEE: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal bersama Nico Williams dan Victor Munoz, tidak disenaraikan dalam skuad yang akan berkunjung ke Peru bagi aksi persahabatan terakhir menjelang Piala Dunia.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Sepanyol akan menentang Peru di Estadio Cuauhtemoc esok, seminggu sebelum memulakan kempen Kumpulan H menentang Cape Verde di Atlanta pada 15 Jun.
Ketiga-tiga pemain itu akan terus berada di kem latihan Sepanyol di Chattanooga bagi meneruskan proses pemulihan kecederaan masing-masing.
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, berkata beliau menjangkakan Yamal akan “bersedia untuk bermain” dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia pasukannya.
Bagaimanapun, beliau mengakui penglibatan pemain sayap FC Barcelona itu mungkin terhad kepada “beberapa minit sahaja”.
Selepas bertemu Cape Verde, Sepanyol akan menentang Arab Saudi di Atlanta pada 21 Jun sebelum menutup saingan kumpulan menentang Uruguay di Guadalajara pada 26 Jun.
Yamal mengalami kecederaan hamstring ketika menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk Barcelona pada 22 April lalu.
Sepanyol tiba di Chattanooga pada Jumaat dan Yamal serta Nico Williams turut mengambil bahagian dalam sesi latihan terbuka semalam sebelum meluangkan masa menandatangani autograf untuk para penyokong.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






