Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Peningkatan kes penyakit berkaitan urologi seperti kanser prostat, jangkitan saluran kencing, batu karang dan penyakit buah pinggang kronik terus menjadi cabaran utama kepada sistem penjagaan kesihatan di peringkat global dan negara.
Sehubungan itu, Persidangan Urologi Universiti Sains Malaysia 2026 (USMUC 2026) dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pengetahuan, kemahiran klinikal dan jaringan profesional dalam kalangan pengamal kesihatan bagi memastikan rawatan terbaik dapat diberikan kepada pesakit.
Bertemakan “Revisiting Basic Urology: Strengthening the Foundation”, USMUC 2026 memberi penekanan kepada kepentingan memperkukuhkan asas-asas urologi dalam kalangan pengamal kesihatan meskipun dunia perubatan kini berkembang pesat dengan kemunculan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), perubatan ketepatan dan teknik rawatan invasif minimum.
Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, persidangan itu berperanan sebagai platform perkongsian ilmu, pertukaran pengalaman dan pengukuhan jaringan profesional bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang diberikan sentiasa berkualiti serta berasaskan bukti saintifik terkini.

“Walaupun teknologi terus berkembang, asas klinikal yang kukuh kekal menjadi tunjang kepada penyampaian rawatan yang selamat, berkesan dan berkualiti kepada pesakit.
“USMUC 2026 juga adalah medium untuk menambah baik pengetahuan asas urologi, meningkatkan kemahiran klinikal melalui perkongsian kepakaran dan amalan berasaskan bukti serta mengukuhkan kolaborasi multidisiplin dalam pengurusan pesakit,” katanya ketika berucap pada persidangan tersebut.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) Hospital Pakar USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud.
Katanya urologi adalah cabang perubatan yang memberi tumpuan kepada diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit melibatkan sistem saluran kencing serta sistem reproduktif lelaki.
“Bidang ini memainkan peranan penting dalam menangani pelbagai masalah kesihatan yang boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit.
“Pembangunan profesional berterusan amat penting bagi memastikan pengamal kesihatan sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan dalam bidang perubatan yang semakin kompleks,”katanya.
Sepanjang persidangan itu, peserta didedahkan dengan pelbagai topik berkaitan kesihatan lelaki, kanser prostat, jangkitan saluran kencing, penyakit buah pinggang peringkat akhir serta kecemasan urologi yang sering ditemui dalam amalan klinikal.
Katanya USMUC 2026 turut menampilkan komponen latihan praktikal termasuk Hypospadias Masterclass dan seminar kejururawatan yang memberi peluang kepada peserta mempertingkatkan kemahiran, memperkukuh kompetensi profesional serta membangunkan bakat baharu dalam bidang urologi.

Dr. Shaiful Bahari berkata, persidangan tersebut juga diharap dapat memperluaskan jaringan kerjasama strategik di peringkat tempatan dan antarabangsa selain merancakkan penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi dalam bidang urologi.
“Saya yakin persidangan ini bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman, malah mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan penyelidikan serta inovasi yang memberi manfaat kepada pesakit dan sistem kesihatan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, penceramah, penaja dan peserta atas komitmen mereka menjayakan USMUC 2026.
Persidangan yang berlangsung selama dua hari di Renai Hotel, Kota Bharu pada 8 Jun lalu itu menghimpunkan pakar perubatan, pegawai perubatan, jururawat, paramedik dan profesional kesihatan dari pelbagai institusi bagi membincangkan perkembangan semasa serta cabaran dalam bidang urologi.
IMedikel TV






