Home Buletin Semasa MALAYSIA TOLAK DAKWAAN LAYANAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN KEPADA KANAK-KANAK MIGRAN

MALAYSIA TOLAK DAKWAAN LAYANAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN KEPADA KANAK-KANAK MIGRAN

48
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menolak dakwaan yang mengaitkan negara ini dengan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk daripada komuniti Rohingya, sambil menegaskan pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memastikan kebajikan serta perlindungan golongan terbabit terus terpelihara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan dakwaan bahawa kanak-kanak migran dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara.

Menurut KDN, sehingga 28 Februari lalu, sebanyak enam Baitul Mahabbah sudah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan seramai 188 kanak-kanak, termasuk tujuh kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah daripada keluarga.

“Pelaksanaan Baitul Mahabbah adalah langkah interim kerajaan untuk menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.

“Melalui inisiatif ini, kanak-kanak dapat dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan,” menurut kenyataan itu semalam.

KDN menjelaskan kanak-kanak yang ditempatkan di Baitul Mahabbah diberikan kemudahan dan perhatian sewajarnya termasuk keperluan asas, keselamatan, penjagaan kesihatan, aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas serta ruang riadah yang bersesuaian dengan umur dan keadaan mereka.

“Baitul Mahabbah juga berfungsi sebagai langkah peralihan sementara kerajaan memperhalusi pelaksanaan inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak yang lebih menyeluruh bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan berkaitan.

“Dalam masa sama, kerajaan merancang memperluaskan skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa termasuk bagi menampung kategori umur kanak-kanak lain, tertakluk kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan kanak-kanak dan kapasiti agensi pelaksana,”jelas kenyataan itu.

KDN berkata pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memastikan kanak-kanak yang terlibat tidak terus ditempatkan dalam persekitaran tahanan biasa selain melindungi mereka daripada risiko eksploitasi, penyeludupan migran, pemerdagangan orang dan pengabaian.

“Pendekatan ini mengambil kira keperluan untuk menyeimbangkan tuntutan kemanusiaan dengan tanggungjawab kerajaan dalam memelihara keselamatan negara serta integriti sistem imigresen,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa isu migrasi melibatkan komuniti rentan termasuk Rohingya tidak boleh dilihat secara terpisah daripada cabaran keselamatan dan kemanusiaan yang lebih luas serta merentas sempadan.

Menurut KDN, kemasukan tidak sah, penyeludupan migran dan pemerdagangan orang sering kali menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa kepada sindiket yang mengambil kesempatan terhadap konflik, kemiskinan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang di negara asal mereka.

“Sehubungan itu, Malaysia menyeru semua pihak termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan memainkan peranan yang lebih tegas serta bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian mampan terhadap isu berkenaan,”menurut kenyataan itu.

KDN menegaskan tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada kritikan terhadap negara penerima, sebaliknya perlu merangkumi usaha menangani punca sebenar migrasi paksa, membanteras sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, mempercepatkan penempatan semula ke negara ketiga serta mewujudkan keadaan yang membolehkan kepulangan secara selamat, sukarela dan bermaruah apabila keadaan mengizinkan. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here