Home Buletin Semasa TUJUH PREMIS DI GUA MUSANG DIARAH TUTUP – JKNK

TUJUH PREMIS DI GUA MUSANG DIARAH TUTUP – JKNK

161
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tujuh premis di Gua Musang diarahkan tutup kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 01/2025 itu melibatkan pemeriksaan ke atas 55 premis makanan.

“Pemeriksan kali ini melibatkan premis-premis makanan di sekitar Bandar Lama, Bandar Baru, Bandar Utama, Bandar FELDA Chiku 03 dan kawasan KESEDAR Paloh 1 dan Paloh 2.

“Kesemua premis itu diarahkan tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya dalam suatu kenyataan, pada Rabu.

Jelasnya, pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan itu dikira melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, menerusi operasi itu, JKNK mengeluarkan sebanyak 63 notis tawaran kompaun kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mendaftar premis dengan Kementerian Kesihatan, tidak membuat pemeriksaan perubatan, tidak mendapatkan vaksin, tidak mengekalkan premis dalam keadaan bersih dan lain-lain lagi.

“Jabatan ini menegaskan bahawa tanggungjawab empunya premis makanan dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis mereka bersih setiap masa,” katanya.

Tambah Zaini pemilik premis yang gagal mematuhi elemen penting kebersihan telah diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

“Walau bagaimanapun, sekiranya mereka tidak mematuhi arahan itu, kita akan membuat arahan penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here