Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Walaupun terpaksa menahan muntah ketika beraksi di pentas kebangsaan, seorang peserta cilik, Nuha Mohd Nazri,6, tetap cekal meneruskan pidatonya sehingga selesai dalam Pertandingan Pidato Alam Ria PASTI Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu, pada Jumaat lalu.
Lebih menyentuh hati, keadaan kesihatan Nuha yang kurang memuaskan akibat batuk, selesema dan kahak sejak pertandingan peringkat negeri tidak menghalang anak ketiga daripada empat beradik itu untuk menyampaikan pidatonya di hadapan juri.
Ibunya, Nabilah Nani, 37, berkata kejadian muntah itu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh latihan selama dua bulan, sekali gus menjadi sesuatu yang di luar jangkaannya ketika anaknya bertanding.
Menurutnya, meskipun sudah menguasai pelbagai teknik dan membuat persiapan rapi, kejadian itu mengingatkannya bahawa segala perancangan manusia tetap tertakluk kepada ketentuan Allah SWT.

“Qadarullah, Nuha termuntah semasa bertanding, walhal perkara itu tidak pernah berlaku sepanjang sesi latihan dengannya. Saya sendiri tidak dapat menjangkakannya.
“Saya percaya kita boleh menggenggam sebanyak mana teknik, namun genggaman Allah SWT jauh lebih kuat,” katanya ketika dihubungi IMedikel TV di sini hari ini.
Lebih mengagumkan Nabilah berkata Nuha tetap meneruskan pidatonya sehingga selesai walaupun berdepan kesukaran mengawal rasa mual yang dialaminya ketika itu.
Nabilah berkata, persembahan anaknya pada bahagian akhir pidato kelihatan semakin lemah kerana Nuha sedang menahan muntah yang terasa semakin kuat.
“Malah, bahagian hujah terakhir yang dirancang sebagai kemuncak persembahan turut perlu disampaikan dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya.
Menurutnya, persiapan Nuha untuk pertandingan itu bermula dua bulan lebih awal dengan latihan yang menekankan pemahaman terhadap teks, bukan sekadar menghafal setiap perkataan.
“Tema pidato ditetapkan oleh pihak penganjur, manakala teksnya diolah sendiri oleh saya bersama guru bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat difahami dan dihayati oleh Nuha,” katanya.
Katanya, latihan dimulakan dengan memastikan Nuha memahami konteks setiap perkara yang disampaikan sebelum penekanan diberikan kepada sebutan, ketegasan dan peranan dakwah dalam pidato berkenaan.
“Apabila anak faham apa yang ingin disampaikan, barulah kita ajar peranan dakwah dan mengapa sesuatu mesej itu perlu disampaikan dengan tegas,” katanya.
Bagi memastikan latihan berjalan lebih teratur dan berfokus, Nuha juga tidak dibenarkan menonton televisyen atau bermain gajet di rumah sepanjang tempoh persediaan.
Nabilah berkata, Nuha seorang anak yang rajin berusaha dan akan terus mengulang bacaan selagi teks pidatonya belum dihafal dengan baik.
Malah, sikapnya yang mudah memahami arahan memudahkan proses latihan, dengan Nabilah sendiri membimbing anaknya manakala guru di sekolah membantu melalui latihan ulang kaji secara berperingkat serta memberikan dorongan dan semangat.
Nuha mewakili PASTI negeri Johor, memenangi Naib Johan dan membawa pulang wang tunai RM150.00 dan sebuah trofi dalam pertandingan yang menghimpunkan penyertaan dari 13 negeri, termasuk Sarawak.

Bagi Nabilah dan suaminya, Mohd Nazri Esa, 40, pengalaman itu bukan sekadar tentang keputusan pertandingan, sebaliknya menjadi pengajaran berharga mengenai usaha, ketabahan dan penerimaan terhadap ketentuan Allah SWT.
Di sebalik detik sukar yang terpaksa dilalui Nuha di pentas kebangsaan, keberaniannya untuk terus berdiri dan menghabiskan pidato membuktikan bahawa semangat seorang anak kecil mampu mengatasi dugaan yang tidak pernah dijangka.
IMedikel TV






