Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Suami kepada pemilik perniagaan terkenal Restoran Nasi Ulam Cikgu (Kampung Kraftangan Kota Bharu), Rahaida Abdul Hamid, 50, reda dengan pemergian isterinya yang meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di rumahnya malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, allahyarham dilaporkan rebah dan mengalami kekejangan sebelum tidak sedarkan diri ketika sedang bersolat bersama suami dan anak bongsunya.

Suami mangsa, Muhamad Hussin, 51, berkata sebelum kejadian, isterinya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit serius dan menjalani rutin harian seperti biasa.
“Semalam (Jumaat) kami sempat berkunjung ke rumah ahli keluarga sempena Aidilfitri sebelum pulang ke rumah pada sebelah petang.
“Selepas solat Maghrib, arwah berehat di dalam bilik kerana cuaca panas sebelum kami menunaikan solat Isyak berjemaah bersama saya dan anak,” katanya ketika ditemui di Kampung Kijang, di sini, hari ini.
Menurutnya, ketika rakaat pertama solat, arwah tiba-tiba rebah dan mengalami kekejangan, menyebabkan beliau pada awalnya menyangka isterinya diserang angin ahmar.
Muhamad berkata, allahyarham isterinya kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira 9.30 malam.
Allahyarham Rahaida merupakan anak kepada pengasas Restoran Nasi Ulam Cikgu, Allahyarham Abdul Hamid Idris, yang telah meninggal dunia pada 2015 dan beliau meletak jawatan sebagai guru bagi meneruskan legasi perniagaan keluarga yang telah terkenal di Kelantan sejak bertahun-tahun lalu.
Jenama nasi ulam berkenaan menjadi antara tarikan utama di Kampung Kraftangan, di sini dan Taman Tengku Anis Pengkalan Chepa, dikenali ramai kerana keunikan rasa serta hidangan tradisionalnya.
Pasangan itu dikurniakan lima anak berusia antara 13 hingga 26 tahun, dengan sebahagian daripada mereka masih menuntut di sekolah dan institusi pengajian tinggi, manakala perniagaan itu kini diambil alih dua anaknya, Iskandar Muhamad, 26 dan Balqis, 24.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Tambak, Kampung Pasir Kota, di sini, pada kira-kira 10.15 pagi hari ini.
IMedikel TV






