Home Buletin Semasa SUAMI ISTERI WARGA EMAS MAUT DALAM NAHAS MOTOSIKAL 

SUAMI ISTERI WARGA EMAS MAUT DALAM NAHAS MOTOSIKAL 

18
0

Oleh: Nik  Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Selising-Tok Bok, berhampiran Simpang Kampung Sungai Durian, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa lelaki berusia 69 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dan isterinya berusia 68 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada jam 7.55 pagi daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Pasir Puteh.

“Siasatan awal mendapati pasangan berkenaan sedang menunggang motosikal dari arah Selising menuju ke Tok Bok sebelum tiba di lokasi kejadian.

“Ketika sampai di simpang Kampung Sungai Durian, sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu seorang individu dipercayai bertindak memasuki simpang di sebelah kanan dan memasuki laluan motosikal mangsa.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Saari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Pasir Puteh, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019-9386224 atau hadir ke balai polis berhampiran. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here