Home Hiburan SUAMI AMYZA AZNAN KRITIKAL, DITIDURKAN DI HKL AKIBAT SESAK NAFAS

SUAMI AMYZA AZNAN KRITIKAL, DITIDURKAN DI HKL AKIBAT SESAK NAFAS

KUALA LUMPUR: Pelakon Amyza Aznan berkongsi keadaan suaminya yang kini kritikal dan terpaksa ditidurkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, akibat paru-paru berair dan tekanan darah tinggi.

Memetik laporan Harian Metro, ketika dihubungi, Amyza, 50, berkata status kesihatan suaminya, Khairil Izhar Mohd Nazir, 51, tidak berapa baik sejak enam hari lalu akibat masalah sesak nafas.

“Sebenarnya lima hingga enam hari ini, keadaan dia memang tak bagus. Dia ada sesak nafas.

“Bukan sebab tak pergi dialisis, dia fikir sebab batuk. Sebab dialisis dia kena buat tiga kali seminggu. Selalunya kalau tak dialisis, benda tu akan terjadi.

“Tetapi kali ini, walaupun pergi dialisis, masih tak boleh bernafas,” katanya. 

Menurut Amyza, keadaan suaminya itu sudah berlarutan lebih dua minggu apabila tidak dapat tidur seperti biasa.

“Dia berdiri sepanjang masa sampai pagi. Berdiri ataupun dia duduk. Tetapi lebih kepada berdiri sebenarnya sebab dia tak boleh bernafas,” katanya.

Menurut Amyza empat hari lalu, suaminya pernah memaklumkan mahu ke hospital, namun cuba bertahan dahulu dengan meneruskan rawatan dialisis meskipun tiada perubahan positif.

“Jadi pagi tadi dia ‘surrender’ dan minta saya hantar ke hospital. Untuk kita hantar sendiri memang tak boleh dan amat mustahil dalam keadaan begitu.

“Sebab dia pasti akan minta berhenti kereta, keluar dan berdiri dua ke tiga jam dekat luar sebab tak boleh bernafas. Jadi keputusannya, saya panggil ambulans datang ke rumah,” kongsinya.

Amyza berkata, kira-kira jam 2 petang semalam, dia menerima panggilan daripada pihak HKL memaklumkan suaminya terpaksa ditidurkan kerana keadaan kritikal, paru-paru berair dan tekanan darah tinggi.

“Saya sudah ada di hospital sejak jam 5 petang tadi (semalam), setakat ini belum ada apa-apa keputusan,” katanya.

Sebelum ini, Khairil Izhar pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan swasta pada Disember 2017 akibat serangan jantung.

Pada Disember 2023, Amyza berkongsi terpaksa membuat keputusan sukar untuk menyelamatkan nyawa suaminya selepas ditidurkan akibat sesak nafas.

Bagaimanapun, selepas dua hari ditidurkan Khairil Nizar yang kembali sedar didapati dijangkiti COVID-19 dan perlu menjalani rawatan rapi.

Untuk rekod, Amyza dan Khairil Izhar mendirikan rumah tangga pada 2003.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, 20, Adrian Adam, 18, dan Ayden Andika, 12.

Anak sulung mereka, Andre, meninggal dunia 23 Februari lalu selepas bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here