Home Buletin Semasa SEKTOR PERTANIAN KEKAL PENYUMBANG KEDUA TERBESAR KELANTAN

SEKTOR PERTANIAN KEKAL PENYUMBANG KEDUA TERBESAR KELANTAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BACHOK: Sektor pertanian kekal sebagai penyumbang kedua terbesar kepada sumber ekonomi Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sektor tersebut menyumbang lebih 20 peratus dalam dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Sektor pertanian penting bagi negeri dan kekal sebagai penyumbang kedua ekonomi Kelantan yang menyumbang lebih 20 peratus dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), di belakang sektor perkhidmatan yang menyumbang sebanyak lebih 69 peratus.

“Saya difahamkan bahawa KDNK agromakanan dan pengeluaran hasil pertanian negeri  Kelantan sentiasa meningkat,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025, di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail. 

Mohd Nassuruddin berkata ia menunjukkan keberhasilan dan kejayaan dari usaha berterusan pelbagai jabatan dan agensi serta peranan para peladang, penternak dan nelayan.

“Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, program HPPNK ini adalah salah satu daripada pelbagai inisiatif yang sudah diambil dengan pelbagai bentuk konsep pelaksanaan dan kaedah yang bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu, perkongsian pengalaman dan penemuan baharu dari sudut kaedah, cara dan teknik kepada rakyat Kelantan,”katanya.

Jelasnya usaha yang dilakukan itu bukan hanya kepada warga peladang, penternak dan nelayan sahaja tetapi membabitkan secara langsung penglibatan semua lapisan rakyat khususnya kepada anak muda untuk menceburi dunia pertanian atau penternakan atau pun perikanan.

“Prospek masa hadapan untuk anak-anak muda dalam bidang ini cukup terbuka luas dan pelbagai kejayaan yang telah dibuktikan oleh anak-anak muda di luar sana.

“Hari ini kita melihat, agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam bidang pertanian semakin mendapat tempat dan menjadi perhatian penting negara pada masa kini,”katanya.

Katanya inisiatif TVET yang dikelolakan di bawah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) melibatkan pondok dan sekolah tahfiz swasta juga sudah menunjukkan keberhasilan yang membanggakan negeri Kelantan.

“Pada awal Ogos lalu seramai 103 orang pelajar yang mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 membabitkan lima buah sekolah dan pondok perantis.

“Antaranya SMITI Tahfiz Tok Guru Pasir Puteh, Pondok Al-Fununiah Tunjung, Maahad Tahfiz Daril Ulum Meranti, Pondok Seligi Pasir Puteh dan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan, Tanjong Chat,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here