Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kegiatan penjualan rokok elektronik (vape) tanpa lesen terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 26,000 unit vape bernilai RM3.19 juta dalam Op Taring Alpha 3 yang dijalankan di Kelantan dan Terengganu, pada Isnin.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, operasi bersepadu bersama Batalion 7, 8 dan 9 PGA itu melibatkan serbuan ke atas lapan premis di Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Dungun pada jam 3 petang.
“Semua premis diserbu didapati tidak memiliki dokumen perniagaan atau lesen penjualan peranti dan cecair vape yang sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Seramai 10 individu iaitu tujuh lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki Cina berusia 25 hingga 51 tahun ditahan dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, PBT turut mengenakan kompaun saman dan notis sitaan terhadap barangan tersebut termasuk 26,715unit peranti dan cecair vape pelbagai jenis, 2,600unit pod vape, 548unit aksesori termasuk bateri, 46 kotak rokok Terea serta satu unit mesin laser Pecker Nanostix.
“Semua rampasan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI), Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Daerah Dungun (MDD) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI 2019 & MBKT 2013).
IMedikel TV






