Kuala Lumpur: Impak daripada fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya, pelakon Ruhainies didakwa berdepan kerugian mencecah jutaan ringgit.
Memetik laporan Harian Metro, Peguam Mohd Haizal Ayop yang mewakili Ruhainies berkata, fitnah yang dilemparkan terhadap anak guamnya menjejaskan reputasi sekali gus memberi kesan kepada kerjaya, keluarga dan sumber pendapatan.
“Beberapa syarikat yang sebelum ini bersetuju untuk berkolaborasi, mengambil keputusan untuk menangguhkan kerjasama disebabkan fitnah.
“Secara tak langsung, ini turut menjejaskan punca pendapatan Ruhainies. Jadi, kita tak boleh menunggu lagi dan perlu tindakan segera,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ruhainies, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ruhainies berkata, fitnah yang mengaitkan dirinya dengan seorang individu berpengaruh turut mengganggu kesihatan mentalnya.
“Kesan terbesar adalah terhadap mental. Apabila mental terganggu, urusan kerja dan kehidupan harian turut terjejas. Bahkan, apa yang berlaku juga memberi kesan kepada keluarga. Saya kena jaga perasaan ibu bapa saya.
“Mestilah saya rasa tertekan kerana saya hanya manusia biasa dan ada had kesabaran. Ibu bapa saya pun selalu bertanya, kenapa saya tak ambil tindakan dahulu dan biarkan maruah dipijak.
“Saya jelaskan, tindakan undang-undang memerlukan proses panjang. Apabila saya dah bersedia, saya akan selesaikan isu ini sepenuhnya,” katanya
Terdahulu, Harian Metro melaporkan pelakon drama Hello Mr Perfect itu menghantar notis tuntutan (LOD) kepada tiga individu kerana didakwa melemparkan fitnah terhadapnya di media sosial.- HMetro Online-
IMedikel TV






