Tokyo: Seorang timbalan datuk bandar di barat Jepun meninggal dunia selepas dihempap kenderaan berhias gergasi ketika menyertai perarakan festival tempatan, kata pegawai pada Isnin, seminggu selepas dua lagi individu dilaporkan maut dalam festival tradisi berasingan.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Timbalan Datuk Bandar Saijo di wilayah Ehime, Akihiro Nabae, sedang mengangkat kenderaan berhias gergasi bersama peserta lain pada Sabtu sebelum terperangkap di bawahnya, menurut pegawai bandar raya dan polis kepada AFP.
Beliau dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia, lapor media tempatan.
Punca sebenar kematiannya termasuk “sama ada kenderaan berhias itu terjatuh atau beliau hilang keseimbangan” masih dalam siasatan, kata Timbalan Pengarah Balai Polis Tempatan, Makoto Hagiyama kepada AFP.
Media tempatan melaporkan 11 kenderaan berhias disusun secara bersebelahan dengan Nabae dipercayai dihempap beban seberat sehingga tiga tan.
Dianjurkan oleh kuil tempatan, festival tahunan Saijo disifatkan pihak berkuasa bandar raya sebagai acara “mewah dan meriah” dengan perarakan kenderaan berhias yang diukir menyerupai bunga, burung dan pahlawan, menurut laman sesawang rasmi bandar raya itu.
Tradisi berkenaan bermula sejak zaman Edo di Jepun iaitu antara 1603 hingga 1868 dan bertujuan menzahirkan kesyukuran kepada tuhan atas hasil tuaian bijirin.
Dua individu dilaporkan maut pada Sabtu minggu sebelumnya dalam dua festival berasingan di barat Osaka apabila kenderaan berhias terbalik ketika peserta cuba melakukan pusingan pada kelajuan tinggi.
Dua lagi individu dilaporkan maut pada Februari lalu akibat kesesakan dan rempuhan ketika berlangsungnya ‘Festival Lelaki Berbogel’ di Jepun.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






