Home Sukan ROONEY SEDIH LIHAT SITUASI FODEN

ROONEY SEDIH LIHAT SITUASI FODEN

112
0

LONDON: Legenda Manchester United, Wayne Rooney, mengakui berasa “sedih” melihat situasi Phil Foden selepas bintang Manchester City itu hanya diturunkan sebagai pemain gantian lewat permainan dalam final Piala Liga di Wembley.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Foden, yang sebelum ini antara pemain utama dalam kesebelasan kendalian Pep Guardiola, terpaksa menyaksikan sebahagian besar perlawanan dari bangku simpanan ketika City menambah koleksi trofi mereka.

Pemain berusia 25 tahun itu kini berdepan kemerosotan daripada segi minit permainan, meskipun pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik PFA musim 2023-24.

Kehadirannya di Wembley sekadar sebagai pemain gantian pada minit ke-90 menggantikan Rayan Cherki, selepas saingan sengit dalam skuad susulan kemasukan pemain seperti Antoine Semenyo.

“Saya rasa sedih untuknya, bukan kerana dia masuk lewat ketika final, tetapi kerana beberapa hari lalu dia langsung tidak diturunkan.

“Kalau pemain muda yang masuk di hujung permainan, itu pengalaman baik. Tetapi melihat Foden di akhir permainan, ia seperti sekadar sagu hati untuknya,” kata Rooney.

Foden hanya memulakan empat perlawanan daripada 13 aksi terakhir City dalam semua pertandingan, selain gagal menjaringkan gol dalam 20 perlawanan sejak pertengahan Disember.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Dia pemain hebat tetapi sukar mendapat tempat dalam pasukan. Ia sesuatu yang pelik,” katanya.

Walaupun berdepan situasi sukar, Foden kekal profesional ketika meraikan kejuaraan tersebut, sambil mengakui prestasinya belum berada di tahap terbaik.

“Ia tentang bagaimana anda bangkit semula. Saya terus bekerja keras dalam latihan setiap hari dan berharap dapat kembali lebih tajam selepas aksi antarabangsa serta meraih lebih banyak minit permainan,” tambahnya.

Foden turut disenaraikan dalam skuad 35 pemain England kendalian Thomas Tuchel bagi aksi antarabangsa bulan ini, namun kekurangan minit permainan di peringkat kelab menjadi kebimbangan menjelang kejohanan musim panas.

Dia berpeluang membuktikan kemampuannya bersama England dalam aksi menentang Uruguay dan Jepun dalam masa terdekat. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here