Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Kehilangan bapa sejak usia kecil bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi pembakar semangat buat Muhammad Zarhan Asyraf Mohd Zulkhairi, 16, antara 44 anak asnaf dan yatim yang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada 3rd Force Pasir Mas.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Mas itu adalah anak sulung daripada empat beradik.
Bapanya, arwah Mohd Zulkhairi Badiauzaman, meninggal dunia ketika Muhammad Zarhan berusia lapan tahun akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk berbuka puasa bersama.
Menurut Muhammad Zarhan, kejadian tragis itu berlaku apabila baju hujan arwah bapanya tersangkut pada rantai motosikal sehingga menyebabkan kemalangan maut.
“Masa kejadian pada bulan puasa, dia menunggang motosikal, namun baju hujan yang berada di dalam bakul motosikal tersangkut pada rantai motosikal lalu terbabas,”katanya.
Dia mengakui masih merindui arwah bapanya yang juga seorang anggota polis.
“Memang rindu ayah. Arwah seorang anggota polis. Saya bercita-cita hendak jadi bomba sebab hendak selamatkan nyawa orang dan nampak kemas,” katanya.
Menurutnya dia kini tinggal bersama ibunya, Rosmati Hassan, 42,di Kampung Slow Machang,Pasir Mas dan menyara keluarga dengan berniaga ais krim Malaysia secara dalam talian.
“Saya tolong mak sebab sayang. Tak sanggup tengok dia letih,” katanya.
Muhammad Zarhan berkata ibunya kemudian berkahwin semula empat tahun lalu dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun hasil perkahwinan tersebut.
Menurut Muhammad Zarhan, hubungan dengan ayah tirinya, Zulhasanan, 40, yang bekerja sebagai pesawah, adalah baik.
Sementara itu, Koordinator 3rd Force Pasir Mas, Zailah Shafie berkata, jumlah keseluruhan sumbangan yang diagihkan tahun ini mencecah RM10,000 dengan peningkatan penerima daripada 40 orang tahun lalu kepada 44 orang pada tahun ini.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu anak-anak ini belajar dengan lebih baik dan seterusnya membolehkan mereka membantu keluarga masing-masing pada masa depan,” katanya.
Program itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan 3rd Force dalam menyokong pendidikan anak-anak golongan memerlukan sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan mereka.
IMedikel TV






