Home Luar Negara GROK DIKECAM HEBAT, HASIL IMEJ PALSU BERSIFAT SEKSUAL

GROK DIKECAM HEBAT, HASIL IMEJ PALSU BERSIFAT SEKSUAL

WASHINGTON: Model kecerdasan buatan (AI) milik Elon Musk, Grok, berdepan kecaman komuniti antarabangsa yang semakin meluas.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, ia selepas Grok menghasilkan deepfake atau imej palsu bersifat seksual membabitkan wanita dan kanak-kanak.

Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam penghasilan imej palsu dan seksual membabitkan golongan itu, manakala Britain memberi amaran akan melancarkan siasatan.

Aduan penyalahgunaan teknologi itu membanjiri internet selepas pelancaran butang ‘edit imej’ pada Grok, baru-baru ini.

Butang itu membolehkan pengguna mengubah imej dalam talian melalui arahan seperti ‘pakaikan dia bikini’ atau ‘tanggalkan pakaiannya’.

Fenomena ‘menanggalkan pakaian secara digital’ itu meletus di tengah-tengah kebimbangan semakin memuncak dalam kalangan aktivis terhadap teknologi percambahan aplikasi AI ‘nudify’.

Aplikasi AI ‘nudify’ merujuk kepada perisian yang mengubah gambar orang berpakaian menjadi imej bogel atau separa bogel.

Ia mendorong siasatan segera atau gesaan tindakan pembetulan dari pelbagai negara termasuk Perancis, India dan Malaysia.

Suruhanjaya Eropah (EC) yang bertindak sebagai pengawal selia digital EU, semalam juga mengecam dengan menegaskan pihaknya sedang meneliti secara serius aduan terhadap Grok.

Grok dibangunkan oleh syarikat pemula Musk, xAI dan disepadukan ke dalam platform media sosialnya, X.

Jurucakap Hal Ehwal Digital EU, Thomas Regnier, berkata Grok kini menawarkan ‘mod spicy’ yang memaparkan kandungan seksual terang-terangan dengan sebahagian output dihasilkan menggunakan mej seakan-akan kanak-kanak.

“Ini bukan ‘spicy’. Ini menyalahi undang-undang. Ini memalukan. Perkara ini tidak mempunyai tempat di Eropah,” katanya.

Peguam berpangkalan di Malaysia, Azira Aziz, pula meluahkan rasa terkejut selepas seorang pengguna dipercayai dari Filipina, menggesa Grok menukar gambar profilnya kepada berbikini.

“Penggunaan AI yang tidak berbahaya dan bersifat santai seperti meletakkan cermin mata hitam pada tokoh awam adalah boleh diterima.

“Namun keganasan yang berasaskan jantina yang mempersenjatakan AI terhadap wanita dan kanak-kanak tanpa keizinan mesti ditentang dengan tegas,” katanya sambil menggesa pengguna melaporkan pelanggaran kepada X dan pihak berkuasa Malaysia. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here