BARCELONA: Real Madrid menamatkan kempen La Liga yang mengecewakan dengan kemenangan 4-2 ke atas Athletic Bilbao dalam perlawanan terakhir Alvaro Arbeloa bersama pasukan itu, semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Mallorca dan Girona pula tersingkir daripada saingan divisyen utama Sepanyol.
Dalam aksi terakhir musim ini, Mallorca menewaskan Real Oviedo yang sudah tersingkir 3-0 untuk mengumpul 42 mata, namun ia masih tidak mencukupi untuk kekal dalam La Liga.
Girona pula seri 1-1 dengan Elche, keputusan yang memastikan pelawat kekal di liga manakala kelab dari Catalan itu tersingkir hanya semusim selepas beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Dani Carvajal yang beraksi dalam perlawanan terakhirnya bersama Real Madrid melakukan hantaran cantik kepada Gonzalo Garcia untuk meletakkan tuan rumah di depan.
Pemain antarabangsa England, Jude Bellingham menjaringkan gol kedua yang menarik sebelum Gorka Guruzeta merembat menewaskan Thibaut Courtois untuk pelawat kendalian Ernesto Valverde sejurus sebelum rehat dalam aksi terakhir jurulatih itu bersama pasukan.
Penjaring terbanyak La Liga, Kylian Mbappe meledak gol ketiga Real dari luar kotak penalti untuk jaringan ke-25 beliau dalam liga musim ini.
Apabila Carvajal dikeluarkan 10 minit sebelum tamat perlawanan, kedua-dua pasukan memberikan penghormatan ‘guard of honour’ kepada pemain berusia 34 tahun itu yang mengucapkan selamat tinggal penuh emosi di Santiago Bernabeu.
Pemain antarabangsa Maghribi, Brahim Diaz menambah gol keempat lewat permainan ketika Real Madrid sekurang-kurangnya menutup kempen tanpa trofi mereka dengan kemenangan, walaupun Urko Izeta menjaringkan satu lagi gol buat Athletic.
“Kami tidak melalui dua musim yang mudah, tetapi saya yakin kami akan kembali memenangi trofi, ini adalah Real Madrid,” kata Carvajal sambil menangis selepas memenangi 27 trofi bersama Real.
Pemain pertahanan itu turut berterima kasih kepada rakan sepasukan lama dan baharu, presiden Florentino Perez, keluarganya dan penyokong menerusi ucapan penuh emosi di atas padang.
“Saya sangat bangga menjadi Madridista, terima kasih untuk semua kebangkitan mustahil kerana sentiasa bersama kami ketika susah dan senang,” katanya.
“Saya hanya berharap apabila anda mengingati saya, ia dengan rasa bangga dan saya sudah memberikan segala-galanya untuk jersi ini.”
Penyerang veteran Poland, Robert Lewandowski menjaringkan gol dalam perlawanan terakhirnya bersama juara LaLiga, Barcelona namun jaringan Javi Guerra, Luis Rioja dan Guido Rodriguez memastikan kemenangan 3-1 buat Valencia.
Celta Vigo mengesahkan slot ke Liga Europa selepas menang 1-0 ke atas Sevilla untuk menamatkan saingan di tangga keenam, manakala Getafe meraih tempat ketujuh dan tiket ke Liga Konferens Eropah menerusi kemenangan 1-0 ke atas Osasuna. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






