Home Buletin Semasa LELAKI DITAHAN CUBA SELEWENG 1.2 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI

LELAKI DITAHAN CUBA SELEWENG 1.2 TAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BACHOK: Sebanyak 1.2 tan minyak masak bersubsidi bernilai lebih RM13,000 dirampas dalam Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) selepas sebuah kenderaan disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan diekori sejauh hampir 30 kilometer (km) dari Tok Bali hingga ke Bachok, petang kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Aswadi Jaafar memaklumkan dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

“Pasukan operasi mengekori sebuah Proton Exora berpendaftaran tempatan bermula dari kawasan Tok Bali sebelum menahan kenderaan itu kira-kira jam 3.20 petang di Jalan Hulu Masjid Pauh Lima, Kampung Pauh 5, di sini.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 1,292 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama yang dipercayai diseleweng untuk tujuan tertentu.

“Nilai keseluruhan sitaan termasuk kenderaan dianggarkan mencecah RM13,230,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPDN berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku tinggal berhampiran kawasan sempadan dan menjalankan aktiviti berkenaan, selain mendakwa itu kali pertama dia ditahan pihak berkuasa.

Operasi bersepadu tersebut dijalankan Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kelantan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh serta KPDN Cawangan Pasir Mas.

KPDN Kelantan akan terus memperkukuh risikan serta operasi bersepadu bersama rakan agensi strategik khususnya di kawasan sempadan dan laluan panas bagi memastikan ketirisan barang kawalan bersubsidi dapat dibanteras demi melindungi hak rakyat dan kestabilan bekalan negara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here