KUALA LUMPUR: Aidilfitri yang sepatutnya disambut dengan penuh keceriaan bertukar suram buat pelakon Mimi Lana apabila kehilangan abang sulungnya pada Ramadan lalu, meninggalkan luka yang masih segar di hati.
Memetik laporan Berita Harian, keseronokan Mimi untuk pulang beraya di kampung halamannya di Taiping, Perak tidak kesampaian selepas pemergian abangnya, Allahyarham Muhamad Sharul Affandy Zainal Abidin, 33, pada 21 Februari lalu.
“Sepatutnya raya tahun ini kami berkumpul di Taiping, tetapi nampaknya tiada rezeki kerana abang sudah tiada.
“Tapi saya masih ada anak dan isterinya, jadi tanggungjawab terhadap mereka tetap saya teruskan,” katanya kepada BH Online.
Menurut Mimi, kehilangan itu amat dirasai memandangkan hubungan mereka sangat rapat, apatah lagi jarak usia hanya dua tahun.
“Adik-beradik saya tiga orang. Saya satu-satunya perempuan dan abang adalah antara yang paling rapat dengan saya,” katanya.
Tambahnya, sambutan Syawal tahun ini diraikan secara sederhana tanpa persiapan seperti kebiasaan.
“Raya kali ini memang sederhana. Saya tak beriya mencari baju raya atau membuat persiapan kerana masih terkesan dengan apa yang berlaku,” katanya.
Walaupun masih bersedih, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 31, memilih untuk terus kuat demi keluarga dan tanggungjawab yang perlu digalas.
“Hidup harus diteruskan. Saya sedih… sangat sedih sebenarnya dan masih berduka.Tapi saya tak boleh terlalu melayan perasaan kerana saya ada tanggungjawab. Saya perlu kuat untuk keluarga,” katanya.
Isteri kepada pelakon Syafiq Kyle itu mengakui pengalaman kehilangan ini membuatkan dirinya lebih memahami perasaan mereka yang pernah melalui situasi sama.
“Dulu mungkin kita tak benar-benar faham bila orang bercakap tentang kehilangan.
“Tapi bila diri sendiri lalui, barulah saya faham bagaimana perasaan itu… perasaan bila tahu kita takkan dapat jumpa lagi orang yang kita sayang,” luahnya.
Dalam kesedihan, Mimi tetap mencari kekuatan dengan melihat sisi baik pemergian abangnya yang berlaku pada bulan Ramadan.
“Saya lega kerana abang pergi dengan cara yang mudah dan dalam bulan mulia.
“Saya percaya Allah angkat darjatnya. Itu sedikit sebanyak mengubati kesedihan saya,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






