Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu kakitangan awam yang merokok di premis makanan semalam.
KKM dalam kenyataan semalam menegaskan penguatkuasaan larangan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dilaksanakan secara menyeluruh tanpa sebarang pengecualian, termasuk terhadap penjawat awam.
“Semalam tular di media sosial yang memaparkan seorang individu merokok di sebuah premis makanan di Rawang.
“Siasatan segera yang dijalankan mengesahkan individu terbabit merupakan penjawat awam yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak.
“Sehubungan itu, tindakan kompaun telah dikenakan di bawah Seksyen 16(2) (No. 4: merokok di tempat makan) Akta 852,” menurut kenyataan itu semalam.
Selain tindakan kompaun, KKM memaklumkan bahawa tindakan tatatertib dalaman turut akan diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
KKM menegaskan, premis makanan adalah antara 28 kawasan larangan merokok yang telah diwartakan bagi melindungi kesihatan orang awam daripada pendedahan asap rokok.
“Sebagai agensi yang menerajui kesihatan awam, KKM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak, termasuk warga kerja sendiri, yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan komited melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara tegas, adil, dan konsisten bagi melindungi kesihatan orang awam daripada pendedahan asap rokok.,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pematuhan terhadap larangan merokok adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan persekitaran yang bersih, sihat, dan selamat untuk semua.
“KKM amat menghargai keprihatinan masyarakat dan menggalakkan penyaluran maklumat atau aduan melalui saluran rasmi KKM bagi memperkukuh penguatkuasaan demi melindungi kesihatan awam,”menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






