Home Buletin Semasa RAKYAT KELANTAN DIGESA UBAH TABIAT GUNA BEG PLASTIK KETIKA MEMBELI- BELAH –...

RAKYAT KELANTAN DIGESA UBAH TABIAT GUNA BEG PLASTIK KETIKA MEMBELI- BELAH – HILMI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menggesa orang ramai agar mengubah tabiat menggunakan beg plastik ketika membeli-belah susulan pelaksanaan Kempen Bebas Plastik fasa kedua yang dilaksanakan di Pasar Siti Khadijah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata kempen tersebut bukan sekadar larangan tetapi adalah satu gerakan kepada perubahan sikap masyarakat.

“Fasa kedua kempen ini lebih tertumpu kepada kedai runcit, farmasi, pasar borong dan kempen ini berkuatkuasa pada hari Sabtu sahaja.

“Kita tidak membenarkan peniaga memberi beg plastik kepada pelanggan.

“Ini kerana akan memberi impak negatif pada jangka masa panjang terhadap persekitaran dan pencemaran hidupan akuatik sungai dan lautan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Bebas Beg Plastik di Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini segelintir masyarakat kini mula mengambil inisiatif membawa beg kitar semula, bakul atau troli sendiri dari rumah bagi memudahkan urusan membeli-belah.

Ketika ditanya berkenaan bebas plastik bagi pembelian barangan basah seperti lauk-pauk, Hilmi berkata pihaknya sudah membangkitkan isu berkenaan pada peringkat persekutuan.

“Itu antara masalah yang belum dapat diselesaikan tentang kaedah untuk menyediakan kempen barangan basah kerana setakat ini hanya plastik sahaja kaedah yang sesuai, sekiranya kita tukar kaedah lain mungkin akan melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Jelasnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bakal merancang untuk menyediakan insentif kepada para peniaga yang tidak lagi menggunakan beg plastik sebagai usaha menggalakkan penyertaan aktif dalam kempen bebas plastik.

Selain itu, beliau berkata kemungkinan pihaknya juga akan melaksanakan operasi penguatkuasaan di pasar raya besar sebagai langkah susulan dalam fasa kedua kempen tersebut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here