Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan wujud penyebaran maklumat serta gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina Mahathir, yang dimuat naik dan dikongsi pihak tertentu di media sosial.
Menurut kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, semalam maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam.
“Tindakan sebegini bukan sahaja boleh menjejaskan perjalanan siasatan yang sedang berlangsung, malah berupaya mengganggu keadilan kepada semua pihak. untuk makluman.
“Segala proses siasatan termasuk isu bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,”katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan semua pihak untuk menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih, termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes ini.
“Perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang antaranya Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 membabitkan larangan mendedahkan maklumat identiti, alamat, nama sekolah, dan gambar kanak-kanak yang terlibat.
“Selain itu perbuatan itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan berkaitan pendedahan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,”katanya.
PDRM menasihatkan bahawa pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara.
Sehubungan itu, sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada. pdrm kekal komited untuk memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara demi kepentingan bersama.
IMedikel TV






